Arak Memudaratkan Kesihatan

244

Semua doktor setuju bahawa arak itu banyak mudarat berbanding manfaat. Tidak kira samada doktor tersebut itu Islam atau sebaliknya. Inilah hikmah Islam mengharamkan terus arak dan mengkategorikannya sebagai bahan yang boleh manghilangkan akal manusia. Apabila peminum arak mabuk, segala pertimbangan waras akal akan melayang. Aksi dan percakapannya akan tidak releven hatta boleh dikira sebagai tidak valid jika memutuskan sesuatu perkara yang penting.

Pembahagian penyakit dalam dunia perubatan meletakkan peminum arak itu sebagai kategori salah-guna substans (Substance Abuse), sama kategori dengan penyalahgunaan dadah yang perlu dirawat. Terdapat bidang khusus dalam ilmu perubatan dikhaskan bagi merawat golongan ini. Kemahiran memberi kauseling dan memberikan rawatan sepatutnya perlu dilakukan oleh doktor yang pakar.

Alkohol atau arak, walaupun jumlah yang sedikit, ianya sudah tentu mempunyai kesan negatif kepada tubuh badan manusia. Begitu juga bahan yang terlarang lain seperti dadah, rokok, vape dan sebagainya, boleh merosakkan sel-sel badan manusia. Amat membimbangkan jika pengambilan bahan terlarang itu dijadikan amalan dalam kehidupan, manusia akan menjadi ketagih(addiction) dan akhirnya berlaku kebergantungan(dependence). Penyakit ketagih dan kebergantungan inilah yang menjadi masalah dalam kehidupan manusia. Kerajaan Malaysia menghabiskan RM4 bilion setahun untuk merawat ketagih rokok dan kesan penyakit dari merokok.[1] Jika ditambah dengan substans lain lagi, kos ini akan meningkat lagi. Dari mana duit itu? Jika tidak dari semua rakyat yang membayar cukai?

Kenapa manusia mudah terjerumus dalam penyalahgunaan arak ini? Terdapat kajian yang menyatakan salah satu punca kepada manusia mudah terpengaruh untuk terus ketagih arak adalah kemudahcapaian bahan tersebut.[2] Ia mungkin samada tiada penguatkuasaan ketat dari pihak berwajib atau terdapat galakan-galakan yang digemburkan. Oleh itu, menganjurkan satu festival khusus untuk menggalakkan minum arak beramai-ramai juga salah satu faktor pendorong meminum secara berlebihan (binge drinker). Akhirnya kesan-kesan mudarat kesihatan boleh terjadi.

Saya percaya semua ahli perubatan bersetuju bahawa arak mempunyai mudarat yang banyak. Kita sepatutnya bersetuju untuk tidak mengadakan upacara meminum arak secara besar-besaran. Galakan meminum secara sosial ini akan beralih kepada meminum arak secara rutin. Kesannya bukan boleh mencelarukan mental, malah boleh menyebabkan rosak hubungan sosial dalam keluarga. Bukti-bukti perubatan pun banyak menyenaraikan kesan buruk arak ini. Antaranya peminum arak akan bercakap tidak teratur butirannya, pening kepala dan mata berpinar-pinar, boleh terjadi muntah serta cirit disusuli dengan perut meragam. Sesetengah keadaan peminum arak akan mengalami kesukaran bernafas, penglihatan kabur dan pendengaran terganggu sehingga menyebabkan badan huyung-hayang. Peringkat yang lebih teruk boleh menyebabkan koma dan mati. Kisah kematian peminum arak yang diambil secara haram satu ketika dahulu boleh dijadikan iktibar. Keracunan arak jenis methanol ini boleh membawa maut seperti kejadian September lalu yang menyebabkan 19 kematian dan berpuluh orang keracunan.[3]

Kesan mudarat jangkamasa panjang pula, peminum arak boleh menyebabkan mengidap penyakit darah tinggi, angin ahmar(stroke), sakit jantung, sakit hati(hepatitis), masalah gastrik dan pelbagai lagi. Penyakit ini adalah hasil undangan arak yang diminum. Semua fakta ini sudah pun diketahui umum, namun nafsu lebih diutamakan bagi para peminum arak.

Adalah diharapkan fakta di atas tadi bukan semata-mata untuk dibaca tetapi wajib diambil pengajaran oleh kita semua agar menjauhkan diri dari meminum bahan terlarang tersebut. Itulah hikmah besar dalam Islam, arak dan bahan-bahan yang memabukkan diharamkan. Terdapat hukum syariah khusus dikenakan ke atas orang Islam jika sabit kesalahan meminum arak ini. Saya yakin dan percaya bahawa agama lain juga melarang penganutnya meminum arak.

Sekian dari suhazeli.com.
Fb.Com/drsuhazeli
12.10.2018
Kuala Berang

Pautan
[1] Health Care Cost in Treating Tobacco. https://seatca.org/dmdocuments/10_health_care_costs_of_smoking_in_malaysia.pdf
[2] Addiction risk factors. https://www.centeronaddiction.org/addiction/addiction-risk-factors
[3] Keracunan Arak jenis methanol. https://kpkesihatan.com/2018/09/18/kenyataan-akhbar-kpk-18-september-2018-kejadian-disyaki-keracunan-metanol-di-kuala-lumpur-dan-negeri-selangor/