Apa Nasib Hartanah LTH

360

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merujuk dua perkara utama berhubung hartanah yang dimiliki oleh LTH khususnya dan umat Islam (pendeposit) amnya.

1) Berdasarkan kepada soalan jawab bertulis nombor 44 oleh YB Rompin kepada Perdana Menteri bertarikh 28 Mac 2019, dan

2) Penjelasan dari LTH bertajuk, “Briefing on Lembaga Tabung Haji – Findings, Action Taken and Plan Moving Forward”

Berdasarkan kepada kedua-dua sumber tersebut, aset hartanah yang telah dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn Bhd adalah sebanyak 29 unit yang meliputi tanah, hotel, pejabat, bangunan komersial dan bangunan kilang.

Jumlah nilai buku aset hartanah ialah RM 1.41 bilion, manakala nilai perpindahan berjumlah RM 2.24 bilion.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dijelaskan oleh LTH mengenai hartanah yang dipindahkan tersebut, iaitu;

1) Adakah 29 unit hartanah yang dipindahkan terutama tanah memberikan pulangan (yield) kurang 2 peratus setahun untuk jangka pendek dan jangka panjang?

2) Adakah pindahan hartanah terutamanya tanah kepada SPV mengambil kira potensi anggaran nilai pembangunan kasar yang akan dibangunkan oleh LTH?

3) Merujuk kepada ‘Plan Moving Forward’ yang dikemukakan oleh LTH, adakah semua unit hartanah yang dipindahkan akan dijual?

PAS menuntut satu penjelasan terbuka dari pihak LTH berhubung hartanah yang telah dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn Bhd untuk meleraikan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Nasrudin hin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat