Antena Untuk Gelombang Kedua

592

Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN – Dua antena telah dinaikkan di Kampung Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangkakan pada 25 dan 26 Disember nanti.

Timbalan Presiden Radio Amatur Kemaman (RAK) Zawawi Mohamed ketika ditemui berkata ianya perlu ada kerana pada banjir gelombang pertama, bekalan elektrik terputus dan talian telekomunikasi tidak berfungsi di kampung tersebut.

“Kita mengambil inisiatif memasang antena ini untuk tujuan perhubungan memandangkan talian telekomunikasi tidak berfungsi pada banjir tempohari”.

“Air yang naik dengan mendadak dan laju melintasi jalan menyebabkan kenderaan tidak dapat melaluinya ke Kampung Sungai Mas dan kita terputus hubungan dengan mereka”.

“Keadaan tersebut menyukarkan kerja kerja bantuan dan menyelamat oleh agensi kerajaan yang terlibat”, kata beliau yang juga selaku Pengarah Khidmat Malaysia Dun Kijal.

Ketua Kebajikan Dun Kijal itu turut menggerakkan petugasnya untuk menaikkan antena di kampung tersebut setelah mendapat persetujuan daripada Pengarah Majlis Tindakan Dun Kijal (MTD) Ustaz Hazri Jusoh.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Mas dan Padang Kubu melahirkan rasa gembira kepada pihak MTD kerana mengambil cakna terhadap banjir yang melanda kampung mereka.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Pengarah Dun Kijal dan RAK kerana mengambil berat tentang kami dan memandang serius perkara ini”, kata Pengerusi MPKK Sungai Mas Shardi Deraman, 47 tahun.

Setiausaha MPKK Padang Kubu Sudin Muda, 52 tahun juga berharap dengan pemasangan antena radio ini akan memudahkan lagi kerja kerja bantuan dan pemantuan semasa banjir berlaku.