Antara Menjaga Agama Dan Menjaga Nyawa

229

Oleh : Ustaz Tuan Sidek

Seorang pengkaji ilmu maqasid syariah, Muhammad Sa‘d al-Yubi di dalam bukunya Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah wa ‘Alaqatuha bi al-Adillah al-Shar’iyyah telah membincangkan pelbagai pandangan ulama sekiranya berlaku pertembungan antara maslahah.

Menurut beliau, kebanyakan ahli usul fiqh berpendapat apabila bertembung antara dua maslahah yang perlu diutamakan, penjagaan agama lebih didahulukan. Walaupun begitu, terdapat juga ahli usul fiqh yang berpendapat menjaga daruriyyat yang empat lebih didahulukan daripada menjaga agama. Antara contoh-contoh yang dikemukakan oleh golongan yang kedua ialah :

1- Hukuman bunuh ke atas pembunuh yang membunuh dan dalam masa yang sama pembunuh itu juga telah murtad adalah atas asas qisas dan bukan atas asas murtad.

2- Keringanan ketika musafir. Antaranya ialah keharusan sembahyang secara qasar dan berbuka puasa. Begitu juga keringanan ketika sakit. Orang sakit boleh duduk ketika sembahyang sekiranya tidak mampu berdiri dan boleh berbuka puasa.

3- Perlu meninggalkan sembahyang untuk selamatkan orang yang lemas.

4- Keharusan meninggalkan jemaah dan Jumaat untuk menjaga harta.
Menurut golongan yang berpendapat penjagaan agama didahulukan (golongan pertama), contoh-contoh yang dikemukakan di atas bukanlah menunjukkan penjagaan daruriyyat nyawa, keturunan, akal dan harta didahulukan tetapi sebenarnya contoh-contoh itu sebenarnya menunjukkan kepada penjagaan agama didahulukan daripada penjagaan–penjagaan yang lain. Antara hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:

i- Orang murtad yang membunuh dihukum bunuh atas asas qisas dan bukan atas asas murtad bukanlah bermakna didahulukan penjagaan nyawa atas agama. Ini kerana nyawa seseorang itu bukanlah hak miliknya semata-mata. Agama menegah membunuh dan melakukan sesuatu urusan yang boleh memudaratkan. Hukum dibalas bunuh atas asas qisas memenuhi dua maqsid iaitu maqsid al-shari‘ untuk menjauhkan kefasadan (penjagaan agama) dan maqsid untuk menghilangkan kemarahan ahli waris sedangkan hukuman bunuh semata-mata atas asas murtad hanya memenuhi penjagaan agama sahaja.

ii- Qasar sembahyang ketika musafir juga tidak menunjukkan kepada keutamaan penjagaan nyawa ke atas penjagaan agama kerana ia hanya melibatkan perkara cabang. Kepayahan sembahyang dua rakaat ketika musafir mengambil tempat kepayahan sembahyang empat rakaat ketika bermukim. Begitu juga sembahyang orang sakit dengan cara duduk mengambil tempat kepayahan berdiri ketika sihat. Dari sudut puasa pula, puasa yang ditinggalkan wajib diqada’. Ini menunjukkan perkara utama iaitu kewajipan tidak gugur sama sekali.

iii – Kes dibolehkan meninggalkan sembahyang kerana menyelamatkan orang yang lemas juga bagi memenuhi dua penjagaan iaitu hak Allah (agama) dan hak hamba (nyawa). Di samping itu, orang yang meninggalkan sembahyang itu tetap wajib qada’. Didahulukan menyelamatkan orang lemas kerana maslahah orang yang lemas akan luput dengan sebab sembahyang sedangkan maslahah sembahyang boleh diperoleh selepas itu. Oleh itu ia didahulukan untuk memperoleh dua maslahah.

iv – Dalam kes kelonggaran untuk menjaga harta di saat darurah, ia juga bagi menghimpun dua maslahah sebagaimana kes menyelamatkan orang lemas.
Penjagaan agama adalah paling utama bahkan penjagaan empat yang lain adalah bertujuan untuk menjaga agama. Penjagaan nyawa adalah juga bermaksud penjagaan agama kerana penjagaan nyawa tidak bertujuan melainkan untuk beribadah kepada Allah dan begitulah penjagaan-penjagaan yang lain.