Anak Syuhada Memali: Luka Oleh Umno Masih Terasa, Tetapi……

1695

Oleh : MNA

“Luka kita atas apa yang dibuat, atas kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin Umno, kita masih ingat bagaimana ramai pemimpin-pemimpin kita yang merengkok dalam tahanan ISA, pemimpin kita dibelasah, anggota Unit Amal kita, ketika mahu menyuraikan apa-apa himpunan.

“Dan termasuklah apa yang berlaku dalam peristiwa berdarah tahun 1985, Peristiwa Memali, walaupun luka itu luka besar, bukan luka kecil, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

“Walaupun luka itu luka besar, tetapi PAS, berjiwa besar insyaallah, demi survival Islam, demi untuk memastikan kita hendak menyelamatkan rakyat, yang hari ini ditipu, yang hari ini kita lihat kos hidup terus membelit rakyat.

“Maka kita hendak memastikan perkara ini insyaallah direalisasikan luka besar itu kita lupa dan kita berlapang dada, mengambil apa yang ditunjukkan oleh nabi kita S.A.W,” demikian ucapan bersemangat oleh YB Ustaz Yusni Mat Piah salah seorang anak kepada syuhada Memali.

Beliau yang mewakili Pulau Pinang sebagai pembahas mengajak seluruh ahli PAS agar melihat dengan kaca mata Islam tentang perkara yang membolehkan kebaikan Islam diketengahkan.

ADUN tunggal PAS di Dun Pulau Pinang itu juga membawa contoh pembunuhan Saidina Hamzah oleh Wahsyi, sebagaimana bencinya rasulullah s.a.w apabila melihat Wahsyi, baginda tetap memaafkan beliau atas sifat pemaaf yang dianjurkan oleh Islam.

Taawun siyasi mesti dilihat dengan lebih mendalam bagi mengadapi PRU 15, bagi memastikan blok pembangkang menumpukan strategi satu lawan satu untuk menewaskan PH supaya kelangsungan Islam di Malaysia dapat diteruskan.

Gabungan pembangkang diyakini boleh menang besar jika cadangan ini diteruskan dengan perancangan yang teliti kerana banyak kerusi yang dimenangi PH adalah kerana pertembungan tiga penjuru.

Beliau menyerahkan kepada kebijaksaan pimpinan bagi memutuskan segala perkara penting bagi kebaikan Islam dan ahli seharusnya mempercayai keputusan pimpinan ini.

Wakil Rakyat Penaga itu juga mengimbau kenyataan Presiden PAS yang disiarkan di dalam majalah Asia Week pada tahun 84 iaitu dimana beliau menegaskan Umno mesti menerima Islam bagi penyelesaian masalah perpecahan umat Islam.

Presiden PAS ketika itu memberi kata putus bahawa bagi merealisasikan hal itu, Al-Quran dan hadis mesti diutamakan oleh Umno.

“Malangnya ketika itu Umno BN mereka memerintah negara, mereka bukan sebagai pembangkang, maka pandangan ini ditolak, mereka hanya mahu berdebat yang debat itu tidak boleh menyelesaikan masalah,’ ujar beliau berkenaan ksikap Umno ketika berkuasa dahulu.