Ameerah Eratkan Hubungan Bersama Masyarakat Dengan Cuci Surau

336

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Pelbagai aktiviti yang diatur oleh Muslimat Muda PAS (Ameerah) DUN Rantau Abang untuk mengeratkan hubungan silaturrahim bersama masyarakat setempat khususnya anak muda.

Ketuanya, Husni Nabilah Dzulkefli berkata, aktiviti terbaharu mereka ialah dengan membersih surau-surau di DUN berkenaan.

” Kami tubuhkan Skuad Cuci Surau dan aktiviti akan dijalankan sebulan sekali di surau-surau terpilih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas selesai membersih Surau Haji Din, Kampung Tok Kah, di sini pada 5 Julai.

Menurut Husni, kerjasama penduduk setempat sangatlah baik dan kehadiran mereka menjadi kekuatan kepada Ameerah, memandangkan ianya merupakan yang pertama kali diadakan.

“Diharapkan dengan aktiviti ini juga dapat menyemarakkan amal kebajikan dan kebaikan di kalangan anak muda,” katanya.

Program tersebut telah dirasmikan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun yang turut memuji usaha murni tersebut.