Ameerah Bantu Anak Muda Kenal Dunia Sebenar

273

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Ameerah atau muslimat muda PAS memahami cabaran di kalangan anak muda masa kini dan bersedia membantu mereka melangkah ke alam dewasa di dunia sebenar.

Ketua Ameerah DUN Kemasik, Nor Izana Alisah berkata senario masa depan yang akan dilalui oleh golongan tersebut memerlukan mereka membuat persediaan yang rapi dan jelas.

“Kita bimbang dengan cabaran yang semakin menekan serta adanya pengaruh persekitaran, anak muda kita mudah tertewas,” jelasnya.

Beliau ditemui di program Kem Anak Soleh Solehah 2019 anjuran Ameerah DUN Kemasik, di Dewan Orang Ramai Kampung Cabang, Kertih, di sini, hari ini.

“Program sehari ini, banyak menekankan aspek kerohanian dan kepentingan bersolat dalam membentuk jati diri unggul.

“Dalam setiap aktiviti, kita tekankan solat yang mampu membentuk keperibadian, di samping slot muhasabah diri bagi golongan menangguhkan solat,” ujarnya.

Menurut Nor Izana juga, pihaknya akan mengadakan pertemuan susulan selepas selesai kem bagi memastikan ilmu diperoleh dimanfaatkan sepenuhnya biarpun selepas kembali ke rumah.

“Kita kumpul data dan profil mereka bagi memudahkan kita jalankan pertemuan dengan mereka semula sekiranya ada program susulan dibuat selepas ini.

“Kita harap ia mampu menjadi pemangkin kepada beberapa perubahan lain, selain mengelakkan mereka terus terjerumus ke lembah sosial yang turut menjejaskan hubungan kekeluargaan, pencapaian akademik di sekolah sekali gus merugikan negara,” katanya.

Kem tersebut menampilkan 15 fasilitator melibatkan 103 orang peserta lelaki perempuan berusia antara sembilan hingga 16 tahun.