“Ambe Wakil Rakyat Kerajaan, Tak Perlu Surat Kebenaran Menteri Pendidikan”

7313

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azaman Ibrahim berkata, beliau adalah wakil rakyat kerajaan yang memerintah Terengganu.

Oleh itu katanya, beliau tidak perlu surat kebenaran Menteri Pendidikan untuk menghadiri program di mana-mana sekolah, sekiranya dijemput.

“Ambe (saya) wakil rakyat kerajaan, bukan pembangkang. Setakat ini ada satu PIBG (Persatuan bu Bapa Dan Guru) sekolah di Jabi berani jemput untuk Program Anugerah Kecemerlangan.

“Ambe hadir dan bagi sumbangan. Tak ada pun surat kebenaran Menteri Pendidikan,” tulis beliau dalam laman sosialnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri terbabit yang menegaskan wakil rakyat pembangkang tidak dibenarkan masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program.

Dr Maszlee Malik pada19 November ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat berkata, pekeliling juga sudah dikeluarkan.

“permohonan perlu dibuat kepada Kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian,” katanya.

Berikutan arahan Maszlee, ramai yang menzahirkan rasa tiak puas hati dan menyifatkan, kerajaan PH adalah sama dengan kerajaan Umno Barisan Nasional, sebelum ini.

Antaranya, Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad yang tidak bersetuju dengan pandangan Menteri Pendidikan itu.

“Mengharamkan pihak pembangkang dari sekolah dan institusi pengajian lain adalah salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling buruk di bawah pemerintahan BN sebelumnya,” kata Nik Nazmi, dalam satu kenyataannya semalam.

Apa pun arahan yang cuba menghalangnya untuk bertemu dengan rakyat, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Azman berikrar, meningkatkan kualiti pendididkan di kawasan yang diwakilinya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.

“Walau macam-macam ragam, ambe terus komited untuk bersama pihak sekolah mengangkat martabat pendidikan di Jabi,” tegas beliau.