Almarhum Ustaz Abdullah Lakar Sejarah Hulu Besut

1429

Oleh : Rohayati Ripin

BESUT – Pemergian Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut (1999 – 2004) Ustaz Abdullah Mat Dan dikenang sebagai seorang tokoh yang melakar sejarah PAS di Hulu Besut.

Almarhum telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi semalam, dalam perjalanan ke hospital.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) tersebut, Cikgu Shalahuddin Jaafar berkata, Allahyarham merupakan pejuang yang banyak berjasa kepada parti.

“PAS DUN Hulu Besut berasa amat dukacita dengan pemergiaan Ustaz Loh (Abdullah Mat Dan) salah seorang bekas pemimpin veteran PAS yang telah berkhidmat agak lama lebih 40 tahun berkecimpung dalam politik.

“Beliau bermula dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS kawasan, Bendahari kawasan, dan (merupakan) salah seorang yang aktif dalam bidang pendidikan khususnya Sekolah Rendah Islam di Padang Luas agak lama juga (dengan) membangunkan sekolah tersebut,” jelasnya.

Cikgu Solah berkata demikian ketika ditemui di kediamannya semalam, Sabtu 8 Jun.

Menurutnya, Ustaz Abdullah juga pernah memikul amanah Pengarah MTD beberapa penggal dan masuk bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1999.

Kata Cikgu Solahuddin, Ustaz Loh telah menang bertanding dalam PRU yang lalu walaupun majoriti 500 lebih dan menjadi sejarah kepada PAS Hulu Besut khususnya kerana dapat mengambil alih daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita lihat Ustaz Loh amat gigih dalam perjuangan Islam khususnya dalam PAS dan beliau memegang jawatan sehingga ke sekarang sebagai Ketua Cawangan Lubuk Kawah serta Penasihat MTD DUN Hulu Besut sehingga sekarang,” ujarnya.

Justeru itu tegasnya, pemergian Ustaz Lah merupakan kehilangan yang besar kepada dirinya dan masyarakat kerana beliau banyak memberi idea dan pandangan dalam memajukan PAS.

“Saya yang telah dibawa oleh beliau masuk ke DUN Hulu Besut banyak belajar daripada beliau khususnya tentang pengurusan dan pentadbiran PAS di DUN Hulu Besut,” tambahnya.