Alam Ria PASTI Terapkan Nilai-Nilai Islam

299

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah mempamerkan kesungguhan dan bakat masing-masing bagi meninggikan martabat Islam dalam program Alam Ria PASTI DUN Rhu Rendang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menjelaskan, program tersebut adalah untuk membentuk dan membina jati diri generasi soleh pintar anak-anak PASTI.

“Ini adalah sebahagian daripada proses pembentukan dan pembinaan jati diri generasi soleh anak-anak PASTI yang bakal mencorakkan masa depan negara berlandaskan Islam, Iman dan takwa kepada Allah SWT,” jelasnya.

Beliau yang juga AJK PAS Kawasan Marang berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di PASTI Izzul Islam, semalam, 27 Jun.

Menurutnya, ia adalah hasil didikan PASTI bakal mencorakkan masa depan negara berlandaskan Islam, Iman dan takwa kepada Allah SWT.

Sementara itu, seorang pelajar dari PASTI Al-Fattah Kampung Sentul Patah, Muhammad Syauqi Zamri, 5 Tahun, amat menyukai program Alam Ria PASTI ini, terutamanya dalam acara yang bertanding iaitu azan.

“Saya dapat belajar dan memperbaiki prestasi yang ada kepada lebih baik lagi dan melaungkan azan secara berlagu semenjak minggu lepas selepas diajar oleh Cikgu Alif, Guru Besar PASTI Al-Fattah, Sentul Patah”, ujarnya.

Diantara acara yang dipertandingkan adalah hafazan, nasyid, sajak, cerita dan azan.

Sebanyak sembilan buah PASTI yang terlibat diantaranya adalah Pasti Al-Itqan, (Rusila), Pasti Al-Qamar, (Medan Jaya), Pasti Al-Amin, (Kijing), Pasti Al-Fatah, (Sentul Patah), Pasti Al-Munir, (Bukit Gasing), Pasti Az-Zahra, (Seberang Marang), Pasti Izzul Islam, (Kelulut), Pasti Al-Mustaqim (Pulau Kerengga), Pasti Al-Ittifaq, (Batangan).

Turut hadir menyerikan Program Alam Ria PASTI DUN Rhu Rendang ini ialah Ketua Pemuda PAS DUN Rhu Rendang, Ziyad Zakaria, Pengarah Program Alam Ria PASTI DUN Rhu Rendang, Fakhruddin Zakaria.