Aktiviti Mendaki Bukit Harimau Menangis Cetus Fenomena

1694
Mohd Nazri dan keluarga

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Aktiviti pendakian Bukit Harimau Menangis mencetuskan suatu fenomena baharu, apabila berjaya menarik ratusan pengemar dan orang ramai setiap kali cuti hujung minggu.

Tinjauan sekitar pukul 08.00 pagi tadi, mendapati hampir 100 buah motosikal dan 50 buah motokar diparkir di pinggir jalan ke lokasi berkenaan.

Seorang pengusaha jualan makanan ringan dan air minuman, Suhaini Kamaruzaman, 36, yang membuka gerai di jalan masuk, berkata, keadaan ini berlaku selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama masyarakat sekitar mendaki bukit tersebut dua minggu lalu.

“Keadaan berubah serta-merta, ini minggu kedua kakak berniaga, pada Jumaat dan Sabtu minggu lepas, pengunjung terlalu ramai datang, tidak menang tangan juga kita dibuatnya.

“Ada yang mari sebelah pagi dan ramai juga yang datang selepas waktu Asar, kebanyakkan datang bersama anak atau keluarga.

“Alhamdulillah, dapatlah kakak mencari rezeki, menambah belanja dapur, harap cuti panjang Hari Raya Cina ini semakin ramai orang datang,” kata beliau, mesra.

Sementara itu, Mohd Nazri Mohd Zaki, 45, seorang pekerja swasta yang menetap di Taman Panalex, Kertih, di sini, berkata, inilah kali pertama beliau bersama lima ahli keluarga datang membuat pendakian di sini.

“Kebiasaan kami sekeluarga mendaki di Bukit Bauk, Dungun namun selepas berkunjung ke sini, ternyata Bukit Harimau Menangis lebih menarik dan sesuai untuk pendakian bersama anak-anak atau bersama keluarga.

Tiga sahabat eksekutif bank

“Laluan denai menjanjikan pengalaman baru untuk kami sekeluarga, anak-anak juga sangat seronok walaupun kepenatan,” kata lagi.

Tiga sahabat, semuanya eksekutif sebuah bank komersial di Kemasik, Ismail Afif Mohd Ariffin, Khairul Amilin Kamaruzaman dan Shazlan Amer Mohd Yusof, semuanya berusia 30 tahun, berkata, kerana keseronokan dan sukakan aktiviti mencabar, mereka mendaki Bukit Harimau Menangis hampir setiap hujung minggu.