Aishah Nafi Spekulasi Undur Diri

815
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/aishah.JPG

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu, beliau memilih untuk bersama dalam dunia politik dan bersedia mengharungi apa jua keadaan.

“Kenapa saya nak undur diri, tiada sebab untuk saya tarik diri sedangkan saya baru sahaja diumumkan sebagai calon PAS di kawasan Parlimen tersebut.

“Saya sedia dari segi mental dan fizikal, malah sanggup mengharungi cabaran mendatang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tumpas dalam PRU ini, sekali gus beri kemenangan kepada Pakatan Rakyat (PR),” katanya yang ditukil Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis ceramah santai Pakatan Rakyat di Hotel Citykingdom di sini, malam Selasa lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, yang akan menentangnya pada Pilihan Raya Umum ini, Aishah berpendapat bahawa perkara tersebut tidak memeranjatkannya.

Katanya, pencalonan semula Tan Sri Mohd Isa di Jempol adalah sesuatu yang telah diramalkan pihaknya sejak dari awal lagi.

“Kita lihat sahaja, sama ada pengundi mahukan orang baru atau orang lama sebagai wakil rakyat mereka.

“Apa yang penting, saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan Parlimen Jempol jatuh ke tangan PAS,” katanya.

Dalam pilihan raya 2004, Tan Sri Isa Samad bertanding di kawasan Parlimen Jempol tetapi kerusi itu kemudian diambil alih oleh Encik Lilah Yasin.

Tan Sri Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga ke Mac 2004.