Air Tulang Belakang

2390

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

“Ayah saya sudah 5 hari terlantar kat ICU, doktor pakar nak minta air tulang belakang. Tidak bahaya ke doktor?” Soalan seorang sahabat melalui corong telefon. Beliau eksekutif Petronas yang bergaji lumayan.

“Ok, apa sebab ayahanda tuan haji masuk ICU?” Soal ku kembali untuk dapatkan info detail sebelum beri pandangan. Biasanya bab konsultasi melalui telefon ni, saya akan jawab cara cermat dan berhati-hati sebab saya tidak terlibat secara berdepan merawat pesakit yang dibincangkan. Risau jawapan saya memberi konotasi negatif ke atas perawatan doktor pakar yang sedang dijalankan.

“Ayah saya demam tinggi sebelum masuk wad. Pengsan kat rumah dan terus adik saya panggil ambulans. Doktor pakar syak kuman dalam otak. Jadi dia minta kebenaran untuk ambil air tulang belakang.” Penerangan jelas beliau.

“Kami sekeluarga risau ni sebab, macam-macam pandangan diberi dalam group wasap. Ada yang kata ambil air tulang belakang ni akan sebabkan lumpuh dan pelbagai lagi komen negatif.” Tegas beliau lagi dengan penuh nada kerungsingan.

“Saya mungkin tiada diposisi doktor yang merawat ayahanda. Saya doakan perawatan terbaik diberikan oleh doktor berkenaan.” Ujarku bagi tenangkan keadaan.

Tebuk tulang belakang atau Lumbar Puncture (LP) ini bertujuan untuk mengambil cairannya (Cerebro Spinal Fluid). Perkataan tebuk itu nampak menggerunkan tetapi bukan tebuk, sebenarnya doktor pakar akan cucuk jarum dibahagian tertentu antara celahan tulang belakang. Tempat yang paling tepat LP adalah antara celahan tulang belakang Lumbar 3 dan Lumbar 4. Kita tidak perlu risau, celahan L3 dan L4 ini adalah paling selamat dari tertusuk jarum kepada saraf tunjang.

Maknanya saraf tidak akan diganggu sehingga boleh mendatangkan kelumpuhan. Hujung jarum akan terhenti diruangan cairan tulang belakang untuk disedut dan dianalisa dalam makmal. Selain itu dlam masa yang sama, pakar akan mengukur tekanan air tulang belakang (jika perlu).

Apa yang diperhatikan, jangkitan kuman berbahaya yang menyerang saraf itu sendiri yang boleh menyebabkan pesakit lumpuh atau membawa maut. Bukannya LP. Namun akibat dari phobia dan cerita-cerita yang tidak tepat, ramai antara kita menyalahkan prosedur ambil tulang belakang lah yang menjadi punca. Sedangkan lambat membuat keputusan akan membantutkan lagi proses rawatan yang optima.

Air tulang belakang ini penting bagi menentusahkan jenis kuman yang menyebabkan seseorang pesakit tersebut demam serta tanda-tanda lain yang menjuruskan kepada jangkitan kuman ke dalam saraf. Juseteru rawatan yang lebih tepat dan spesifik akan diberikan dengan kadar segera. Contohnya jika ujian air tulang belakang mengesahkan jangkitan kuman tuberkulosis, maka antibiotik bagi merawat TB akan diberikan.

Para pakar tidak wewenang ingin melakukan ujian LP ini tanpa indikasi yang kukuh. Prosedur yang dilakukan pun atas pengalaman dan kemahiran mereka setelah beratus-ratus kes dilakukan demi berikhtiar merawat pesakit.