Ahli PAS Perlu Memburu Pahala ‘Lailatulqadar’

389

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Setiap ahli PAS perlu memburu pahala malam ‘Lailatulqadar’, dengan memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT kerana telah dijanjikan mendapat fadilat yang besar bagi sesiapa yang melakukannya.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bagi seorang pejuang agama Islam seharusnya berusaha memanfaatkan kesempatan yang diberikan bukan membiarkan ‘malam seribu bulan’ berlalu begitu sahaja.

“(Malam Lailatulqadar) hanya terdapat pada bulan Ramadan. Memburu ‘Lailatulqadar’ bukan bermaksud menunggu begitu sahaja, bertemu dengan malam berkenaan akan dapat dilihat dan dirasai dengan begitu sahaja.

” Sudah tentu untuk bertemu dengan malam berkenaan berhajat pada solat malam yang perlu diperbanyakkan, dan anggaplah Ramadan ini umpama sang kekasih yang dipeluk sehingga sukar dilepaskan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa di Masjid At-Taqwa Kuala Jengai, pada Isnin, 13 Mei.

Menurut Ghazali, ‘Lailatulqadar’ adalah malam yang diturunkan Al-Quran dan menjadi petunjuk relevan sepanjang zaman.

“Kerana itu kita disarankan selain dari menghidupkan malam-malam di Bulan Ramadan (haruslah) memperbanyakkan solat sunat termasuk solat terawih dan juga perlu jadikan amalan ‘bertadarus’ Al-qur’an sebagai satu kemestian.

” Apatah lagi jika segala ibadat dan amalan membaca Al-quran itu bertepatan dengan malam ‘Lailatulqadar’ maka berlipat kali gandalah pahala pada malam berkenaan kerana itu ia amat dinantikan. Mengikut pandangan ulama terdahulu, malam Lailatulqadar adalah pada malam-malam yang terakhir ataupun pada pertengahan Ramadan,” ujarnya.

Menurutnya, Allah telah memilih satu malam yang istimewa buat hambanya agar sentiasa bertakwa, beriman dan bersungguh-sungguh untuk beribadat.

” Prinsip pada Ramadan itu sendiri apa yang perlu diketahui ialah menjadikan seseorang muslim itu mencapai darjat ketakwaan yang tinggi iaitu membuat segala apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar Ramadhan pada kali ini memberikan satu suntikan dan semangat baru untuk terus kekal serta setia bersama jemaah PAS sehingga Islam ditegakkan di bumi Malaysia.