Ahli PAS Hebat, Selalu Tegur Pemimpin Atasan

501

Saya cuba menulis isu ini pada bulan Ramadan lalu, tetapi agak tersekat kerana beberapa faktor yang saya fikirkan lebih baik pandangan saya ini dikemukakan selepas Aidlifitri. Saya teringat beberapa kisah tentang almarhum Dato’ Ustaz Harun Taib, bekas Adun Manir, Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Exco Kerajaan Terengganu. Saya tidaklah rapat dengan beliau, tetapi mengikuti kisah beliau.

Beliau digelar ‘Murabbi’ oleh ahli PAS. Beliau banyak mendidik ahli-ahli PAS untuk menjadi ahli politik yang hebat, memberikan contoh gerak kerja yang baik bagi menjayakan bermacam program parti. Percayakah anda, apabila beliau merancang sesuatu perkara, pergi kepada persoalan bajet, dari mana mahu dapatkan wang, jawapan beliau cukup ringkas, ‘duit yang ada dalam poket kita’. Maksudnya infaq. Dan program-program itu berjaya dilaksanakan dengan wang permulaan sifar.

Ustaz Harun juga dimaklumi sebagai seorang yang pandai bersilat lidah. Lawannya akan terdiam dengan hujahnya, cukup bersahaja tetapi padat. Semua orang boleh dikatakan akan kalah bercakap dengan beliau. Pada kebiasaannya dalam nada lucu, almarhum menikam lawan. Tetapi tidak semua percakapan beliau lucu. Apabila beliau mahu berkata-kata tegas, kadangkala dalam keadaan yang agak panas.

Suhaizan Kayat pernah terkena di satu siri Muktamar Tahunan PAS di Kota Bharu ketika Suhaizan masih dalam Pemuda. Dia menyeru pimpinan agar PAS mencontohi DAP, lebih kurang maksud ucapannya secara ringkas. Dijawab dengan serius oleh almarhum, kita nak ikut Islam ke nak ikut DAP. Padu. Kadang kala penuh sindiran tajam. Sakit hati bagi yang menentangnya mendengar.

Diceritakan oleh seorang penuntut di TATI sewaktu PAS menang di Terengganu, beliau marahkan pelajar-pelajar kerana bersikap seperti tidak menghormati orang tua. CEO TATI juga ketika itu berbalah dengan beliau kerana isu wang ehsan yang masuk ke akaun TATI. Akhirnya CEO itu keluar atau dipecat (saya lupa) dari TATI dan akhbar lawan segera mengambil cerita beliau bagi memburukkan Kerajaan Negeri ketika itu.

Langkah Kajang hanya dimulakan selepas pemergian beliau. Pasti almarhum menentangnya. Tetapi semua itu difahami oleh ahli bahawa beliau sangat komited menjaga parti dari unsur-unsur luar. Pengalaman beliau dalam mempertahankan jemaah amatlah luas. Rahim Gouse pernah mempertikaikan PAS mengambil semua jenis pelajar masuk ke madrasah PAS yang boleh mengakibatkan kemerosotan akademik. Almarhum menjawab, PAS ibarat hospital, semua jenis sakit PAS akan cuba rawati.

Tujuan penulisan ini untuk memberitahu bahawa, jika sekiranya almarhum masih ada sekarang dan keadaan serupa berlaku, ketika netizen yang jahil terlalu banyak berkeliaran di alam maya, saya yakin dan percaya beliau akan ditempelkan dengan imej negatif yang sangat buruk kerana kepandaiannya berhujah itu. Pimpinan yang keluar PAS dahulu memang bencikan almarhum. Yang kononnya mengaku ahli, akan pasti mengkritik almarhum atau mencaci kerana geram, tidak Islamik dan macam-macam lagi

Lalu saya teringat pula kepada sebuah cerita rekaan Pan di Kelantan sebelum PRU 14 dahulu berkenaan sebuah rumah di tepi sungai yang didakwa sebagai rumah orang miskin yang dibayangkan bagai diabaikan oleh Kerajaan Negeri. Akhirnya rumah itu sebenarnya hanyalah rumah tumpangan buat berteduh bagi orang yang berkerja di tepi sungai itu. Dan berita itu dipadamkan oleh Pan setelah diketahui mereka menipu. Kita semua marah, ya ahli PAS cukup marah kerana penipuan Pan itu.

Apabila seorang pendakwah datang ke Kelantan membawa bantuan, beliau pergi ke tempat pelupusan sampah dan mendapati ada ‘rumah’ yang sangat daif. Dia menangis dan semua orang menangis melihat hal keadaan itu. Dia memberikan bantuan tetapi dengan perkataan ‘setelah 20 tahun’ bermaksud tiada bantuan selama 20 tahun sebelum ini. Cukup hina Kerajaan Negeri dicaci maki. 20 tahun bermakna almarhum TGNA masih menjadi MB Kelantan. Apakah agaknya TGNA buat selama itu? Jahatnya TGNA.

Dan cerita sebenar mula keluar. Rupanya rumah itu bukan rumah mereka, ianya adalah rumah tumpangan sementara kerana mudah mereka melakukan kerja. Mereka ada rumah sendiri, mereka memiliki ‘henset’ berjenama dan berpendapatan bagus. Tetapi bantuan tetap diambil, penghinaan tetap ditujukan kepada kerajaan. Saya tertanya-tanya, dimanakah suara yang marahkan Pan memfitnah dalam isu rumah tumpangan di tepi sungai dahulu? Pendakwah itu jelas salah memberikan bantuan, tanpa minta maaf.

Dapat diperhatikan juga ketika MPKK membahagi-bahagikan bantuan sewaktu Covid dan Ramadan yang mana ianya mengikut senarai yang ada dan disahkan kerajaan, para netizen, termasuklah yang mendakwa ahli PAS mencelakan, menyumpah MPKK kerana mereka mengatakan pembahagian itu tidak adil, walaupun gagal dibuktikan. Berbagai tohmahan terpaksa ditelan oleh MPKK. Sedangkan ada diantara mereka terpaksa mengutip wang lain untuk memberikan bantuan kepada yang tidak layak yang meminta.

Kemudian keluarlah satu hantaran di FB oleh seorang pimpinan PAS. Dengan perkataan dan maksud yang jelas dan benar, tetapi beliau dituduh sebagai menyindir pendakwah itu. Sememangnya fitnah sebagaimana yang beliau ungkapkan itu benar terjadi kerana salah bantuan itu. Semua orang saya percaya pernah mendengar berkenaan kisah pembunuh yang membunuh sebanyak 99 orang dan kemudiannya dia membunuh yang ke 100, iaitu orang yang memberikan jawapan dia tidak akan diampunkan Allah.

Pembunuh berubah dengan jawapan dari seorang lagi yang menyuruhnya berpindah. Semua orang faham itulah bezanya sikap antara abid dan alim. Abid boleh memberikan firnah yang besar kerana tiada ilmu, walaupun kelihatan melakukan kebaikan. Hanya beberapa bulan lalu, kita memarahi sekumpulan ‘ubbaad yang berdegil mahu menjalankan perhimpunan besar-besaran ketika Covid sedang menggila. Manakala ulamak pula dituduh mereka ‘menghalang’ solat berjemaah. Waktu itu kita menyokong pula ulamak.

Tetapi dalam kes salah beri bantuan ‘orang miskin’ di Kelantan ini, ada yang mengaku sebagai ahli PAS kemudiannya bangun konon mahu menegur pimpinan. Maka bersungguh-sungguh mereka mempertahankan abid dengan mengenepikan alim, pimpinannya. Ironinya teguran mereka kononnya berilmu, beriman dan ikhlas itu dalam bentuk makian, carutan, hinaan, kejian dan berbagai lagi sejenisnya dalam bulan Ramadan yang mulia. Mungkin itulah cara menggandakan pahala puasa mereka. Agaknya….?

Maka menyerulah mereka yang teguran mereka ini adalah bagi kebaikan jemaah. Dibawakan dalil kisah Saidina Umar ditegur oleh seorang rakyat dengan menggunakan pedang. Konon pimpinan PAS mesti menjadi seperti Umar. Saya mencari keabsahan kisah ini. Sebenarnya ada yang mengatakan kisah ini palsu. Ada juga yang mengatakan ianya tidak jelas. Ada juga yang mengaitkan penegur Umar dalam kisah ini seorang khawarij. Yang pastinya penegur itu, tidak dikenali namanya.

Baik, kita ambil jika kisah ini benar. Saidina Umar telah menerima teguran itu dengan berlapang dada, walaupun beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dalam cerita ini, si penegur itu tidak diketahui siapa, tetapi Saidina Umar dimaklumi sebagai ahli syurga. Dengan membandingkan diri mereka sebagai orang yang menegur dengan keras itu, maka sekaligus mereka juga mengiktiraf pimpinan PAS itu bagaikan Saidina Umar.

Jelas pimpinan lebih mulia dari mereka. Dan malangnya mereka memilih untuk menjadi khawarij itu. Di sini dapat membezakan diri mereka dengan pimpinan yang berilmu. Pimpinan atasan bukan seperti sesetengah ketua cawangan yang mungkin berhati tisu. Sikit-sikit merajuk, kena kutuk letak jawatan. Pimpinan atasan kena berhati waja dan melihat keseluruhan keadaan jemaah. Mereka lebih terdedah dengan maklumat-maklumat secara mendalam, sekaligus membuat keputusan berbeza, tak sama dengan fikiran kita.

Bak kata Dr Azman, Exco Kerajaan Terengganu, saya pernah muda, tetapi adik-adik tidak pernah tua. Saya menafsirkan maksud beliau, pimpinan pernah menjadi ahli bawahan, tetapi kamu belum pernah menjadi pimpinan. Nyata, apa yang dihadapi oleh pimpinan tidak akan pernah dirasai oleh ahli biasa. Walaupun ahli mungkin mendapat maklumat, tetapi tetaplah tidak akan sama dengan pengalaman merasainya. Jadi mengapa menganggap pimpinan tidak tahu dan kita lebih tahu?

Sudahkah anda membaca tulisan terbaharu Dr MAZA berkenaan sikap malas orang miskin yang dibantu? Beliau menyalahkan sikap pemalas penerima bantuan yang ada sebahagiannya sudah mendapat gaji hampir empat ribu, tetap tidak mahu berkerja. Berehat menunggu bantuan lebih mereka suka. Termasuk juga rumah yang mulanya bersepah, diberikan rumah baharu, akhirnya kembali disepahkan. Ya, itulah dia hal keadaan sebenar. Orang yang turun ke lapangan tanpa memeriksa latar belakang payah memahami ini. Bukanlah dahulunya MAZA sering menempelak konon zakat yang tidak diagihkan dengan betul?

Kerajaan Negeri amat memahami keadaan dan perangai golongan yang dibantu. Mereka ada rekod, mereka membuat siasatan. Orang kampung juga mengenali fi’il penerima bantuan ini. Pada kebanyakan situasi, mereka sendiri yang tidak mahu membantu diri mereka. Kalau sekadar bagi bantuan kemudian tinggal, ramai yang boleh buat, asalkan ada wang. Atau ada yang terfikir membantu itu mesti dan wajib menyediakan sebuah rumah, mengkayakan penerima.

Jadi atas dasar ini saya melihat Pan sedang ketawa berdekah-dekah dengan kedunguan golongan yang mengaku sebagai ahli PAS, membelasah pimpinan sendiri, atas nama kononnya keadilan, yang mereka sendiri keliru dimana sepatutnya adil itu.

Pejamkan mata, fikir sedalam-dalamnya. Jika sentiasa pimpinan dikritik, ditegur oleh ahli bawahan, mungkin pimpinan itu selalu melakukan kesalahan. Jika benar sewajarnya mereka ditukar. Mungkin juga bermaksud pimpinan itu bodoh. Jika betul, seharusnya ahli bawahan yang cerdik ini yang menjadi pimpinan. Tetapi takut ia hanya seperti isteri yang bermulut becok, sentiasa tidak berpuashati dengan suami, serba tidak kena, serba tidak cukup. Suami orang pula padanya sentiasa kelihatan baik dan bagus.

Atau adakah ahli yang memaksa kesempurnaan atas pimpinan tanpa mereka sendiri sempurna? Fikirkanlah, dimanakah kebijaksanaan ahli-ahli yang suka mengkritik ini? Pada akalnya atau pada nafsunya? Mana mungkin dia mahu menyempurnakan orang sedang dia penuh cacat dan cela. Saya sokong kenyataan kebaikan yang tidak berakal akan mencetuskan fitnah berangkai. Saya sedia dengan kecaman bagi tulisan ini, oleh kerana itu, saya menulis di luar bulan Ramadan supaya tidaklah berganda dosa para pencaci saya nanti.

Mohd Nasir Abdullah
30 Mei 2020