ADUN Wanita Bukan Sekadar ‘Pembawa Isu’

481

KUALA TERENGGANU – Tugas ADUN Wanita bukan sekadar membawa isu berkaitan wanita dan kekeluargaan sahaja tetapi untuk berkhidmat kepada semua masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu YB Hajah Zuraida Md Noor berkata, ADUN Wanita juga sebagai semak dan imbang (check and balance) kepada polisi kerajaan negeri.

“Dengan slogan ‘ADUN Wanita Untuk Semua’ insya Allah akan berbakti untuk rakyat Terengganu sebaiknya demi agama, bangsa dan negara.

“Ini kerana kami mempunyai pandang sisi berbeza sebagai seorang ibu, anak, isteri dan juga sebagai rakyat ke atas sesuatu isu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pertamanya setelah dilantik sebagai ADUN Wanita pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman pada hari ini.

Pengarah Ameerah negeri Terengganu itu berharap dengan pelantikan beliau akan dapat menjayakan agenda
agenda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) ke arah Terengganu maju, berkat dan sejahtera.

Justeru, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu atas pelantikan ini.

“Dengan pengiktirafan ini menunjukkan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar menyedari kepentingan dan peranan wanita dalam kepimpinan untuk sama-sama menyumbang idea untuk pembangunan negeri.

“Kami percaya wanita lebih dinamik dan holistik untuk membantu Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu rakyat,” ujarnya.