Adik Haziq Harumkan Nama MDI

1563

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Adik Haziq Mahadi, telah berjaya mengharumkan nama Madrasah Darul Iman (MDI) di persada sukan tanah air apabila dinobatkan sebagai peserta terbaik kategori bawah sembilan tahun peringkat kebangsaan di Kejohanan 37th ISTAC 2019 & UniSZA 2nd Open National Tae Kwon Do Championship 2019.

Guru Pembimbing Kontinjen Tae Kwon Do (MDI), Eida Ali, berkata, pelajar berusia sembilan tahun itu, telah berjaya menewaskan tiga pencabar lain dari beberapa sekolah terkemuka sekali gus muncul ‘Sparring’ terbaik kategori bawah 9 tahun lelaki untuk mengondol pinggat emas.

“Selain ‘sparring’, dalam kategori ‘pattern’ Haziq telah berjaya mendapat tempat kedua dengan memunggut pinggat perak,” ujarnya yang
ditemui pemberita di MDI, Titian Baru, Kedai Buloh di sini pada 16 Julai.

Menurutnya, madrasah itu telah menghantar seramai 22 orang peserta ahli kelab Tae Kwon Do dan hanya 11 orang sahaja yang berjaya mendapat pingat di kejohanan yang diadakan pada 12 hingga 13 Julai di Dewan Gemilang Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA).

“Saya sertai pertandingan ini sekadar suka-suka sahaja kerana mengetahui ramai peserta berkualiti dari sekolah-sekolah lain. Pada masa sama saya jangka rakan peserta yang akan mengungguli kategori itu,” jelas Haziq.

Katanya, setelah berjaya di peringkat akhir, beliau berusaha sebaik mungkin sehingga berjaya menewaskan peserta liga akhir dalam pertandingan yang cukup sengit.

“Alhamdulillah rezeki saya pada kali ini, sekali gus dapat mengharumkan nama sekolah di mata negeri,” katanya ketika dihubungi.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang medal, piala dan sijil.

Manakala Timbalan Mudir madrasah berkenaan, Buniyamin Razimin berkata,beliau amat berbangga dengan tahap pencapaian yang dimiliki oleh pelajar kita ini (Haziq) setelah dinobatkan sebagai peserta terbaik bagi kejohanan berprestij itu.

 

“Saya sendiri pun tidak percaya dengan kebolehan yang ada pada (Haziq) ini,jika dilihat sesi latihannya yang santai dan dengan aksi lucunya, memang di luar jangkaan kami” katanya dengan teruja.