Abby sambut raya di Kelantan dan KL

1186

Kesibukan Abby Abadi menguruskan butik miliknya iaitu Syuhada Kasih Abadi di Taman Melawati membuatkan persiapannya untuk berhari raya pada tahun ini tidaklah semeriah mana, malah dua sekadar mendahulukan yang mana perlu.

Walaupun telah menerima orang baru dalam kehidupannya, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan yang berkahwin dengan Mohammad Noor Farhan Che Bakar baru-baru ini mengaku tidak terlalu memikirkan soal persiapan raya walaupun telah kembali bergelar isteri kepada seorang suami.

abbyraya1Pasangan pengantin baru ini juga akan menyambut Aidilfitri yang pertama di rumah keluarga Abby Abadi di Ulu Kelang sebelum berangkat ke Kelantan untuk bersama-sama ahli keluarga Farhan selama dua hari. Abby juga bakal ditemani anak-anaknya hasil perkahwinan terdahulu dengan aktor, Norman Hakim.

“Sejujurnya saya tak sempat nak berfikir pasal soal nak pakai yang macam mana, warna apa fesyen yang mana satu. Lagipun kesibukan menguruskan butik membuatkan saya terlupa. Tetapi saya tidak terlalu risau kerana butik saya pun ada menjual pakaian-pakaian seperti jubbah dan sebagainya.

“Sebelum ramadan melabuhkan tirai saya akan pastikan anak-anak akan dapat pakaian baru dan sedikit persiapan sederhana sahaja. Memang orang tanya dah bersuami sekarang nak bersiap lebih, saya cuma jawab saya tak sempat berfikir pasal itu kerana terlalu sibuk.

“Insya Allah ada juga rezeki kami menyambut bulan mulia ini,”cerita Abby Abadi yang ketika dihubungi sedang sibuk berniaga pada saat ramadan masih berbaki satu hari sahaja lagi.

Mengenai perniagaanya itu, Abby bersyukur kerana Ramadan lalu dia dan keluarga dikurniakan rezeki yang murah daripada Allah SWT. Keputusan beraya di Kelantan menjadikan ia pengalaman baru buat Abby yang beraya buat pertama kali bersama keluarga mertua.

“Bila dah berkahwin saya harus fikir pelbagai perkara. Sebab itu saya kata tiada masa untuk fikirkan perkara remeh. Lebih baik saya fokus pada perniagaan saya yang Alhamdulillah mendapat sambutan baik.

“Selain itu tahun ini merupakan kali pertama saya menyambut raya di Kelantan bersama mertua jadi rasa juga keseronokkan walaupun cuma dua hari. Tiga orang anak-anak saya juga akan mengikuti saya ke Kelantan untuk beraya disana,”ujar bekas anggota Elite yang turut popular dengan drama kepolisian Gerak Khas satu ketika dulu. -Murai.com