Abadikan Atau Menjadi Tragedi Oktober?

197

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Sulit sekali untuk tidak ingin mengambil tahu tentang sosok ini , seperti sangkuriang perkasa yang muncul daripada hutan belantara dan dia memicu pesona pada rakyat jelata. Medsos menggelegak hangat samada mencebiknya atau mengangkat dirinya bak adiwira penyelamat negara, mandraguna kuasa adalah segalanya. Biar wabak kovid 19 terus menggila dan meratah warga dunia dan dia tak peduli apa orang kata tentang obsesinya tentang kuasa dan kerusi Perdana Menteri.

Seorang teman baikku , nama besar dalam kelompok Anwariyyun kini gigih mengusung kosa kata bahawa Anwar sangat layak untuk kerusi PM kesembilan. Temanku itu dengan gaya pidato,bahasa badan difotokopi daripada Anwar sejak dekad 80an, bahkan impian muluk-muluknya tentang Anwar . Aku menjadi kagum bagaimana insan sebaik ini tak pernah menyembunyikan kekagumannya terhadap Anwar. Lama aku memelihara hubungan persahabatan dengan anak Perak itu agar tak berantakan akibat obsesinya terhadap bung Anwar. Ya,kita berhak untuk memilih sesiapa pun sebagai idola dalam hidup ini.

Teringat semasa negara sedang terpanar dengan fenomena Anwar untuk kali ketiga ,aku melakar aksara diatas kertas untuk menyokong Anwar untuk menang dalam PRK Permatang Pauh. PAS saat itu dalam hubungan pemuafakatan politik PR , Anwar menang dikubunya sendiri selepas belahan jiwanya mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan laluan mudah kepada Bung Anwar.

Mantan pelajar MCKK ,sebuah sekolah bergengsi yang ditubuhkan oleh penjajah British dengan nuansa melahirkan pegawai tadbir British dizaman kolonial. Seperti Eton School , sekolah anak bangsawan ini melahirkan ramai pimpinan negara termasuk kalangan pemimpin PAS hari ini seperti Dato’ Iskandar Abdul Samad. Tak hairan jika penguasaan Bahasa Inggeris pelajarnya mapan dan piawai sekali, sekolah persaingan antara anak-anak pintar.

Anwar memasuki kampus Universiti Malaya saat kumpulan sosialis masih merajai hati ilmuan dan anak-anak muda diseluruh dunia. Bentrokan antara kumpulan pelajar radikal dengan pihak aparat keamanan adalah satu fenomena sejagat, bantahan terhadap penguasa kapitalis, cukong dan borgouis adalah inti perjuangan mahasiswa dalam dekad 1960an dan awal 70an.

Dunia Islam sedikit demi sedikit berubah apabila berlaku kebangkitan semula Islam. Perang Arab Israel 1967 telah mewabakkan kebangkitan semula Islam generasi muda di Asia Barat. Di tanahair kita ,kebangkitan ini mula berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969, anak-anak muda mula menunjukkan keghairahan kembali kepada Islam dan melihat dengan jelek kegagalan ideologi manusia.

Anwar belajar di Fakulti Sastera UM, kampus yang menyaksikan penularan semangat kebangkitan semula Islam. Kampus ini mempunyai gerakan pelajar Sosialis yang kuat dan menguasai Majlis Perwakilan Pelajar. Nama-nama besar pemimpin KESUMA seperti Sanusi Osman , Syed Hamid Ali manakala pensyarah tegar sosialis seperti Dr Syed Husein Ali. Anwar muncul dikampus dengan jaringan pelajar-pelajar dibawah PKPIM dan jiwanya dekat dengan mahasiswa.

Bergraduat daripada UM , jiwa kemahasiswaan Anwar yang menebal juga telah membantunya popular kepada anak muda negara ini dalam dekad 70an. Bersama aktivis-aktivis muda Islam dalam PKPIM , Ustaz Abdul Wahab Zakaria, Razali Nawawi, Ustaz Fadhil Noor, Kamarudin Mohd Nor dan lain -lain nama ,Anwar dan teman-temannya telah menubuhkan ABIM. Gerakan sosio politik ini juga mengisi semangat anak muda yang ingin kembali kepada Islam, menerbitkan buku-buku al Maududi,Sayyid Qutb, Hasan al Banna dan lain-lain tokoh gerakan Islam .

Anwar mesra dengan dunia pendidikan kerana disitu jugalah tumpuan anak-anak muda. Pada tahun 1971 saat berusia 23 tahun Bung Anwar Ibrahim dengan dibantu oleh ahli perniagaan bernama Daud Seman telah menubuhkan sebuah sekolah swasta di Kampong Baharu yang diberi nama sekolah Yayasan Anda Akademik. Kampong Baharu sinonim dengan perjuangan orang Melayu dan lokasi sekolah swasta ini sangat strategik. Menjadi markas kepada aktivis ABIM dan PKPIM , malah Anwar sendiri menjadi tenaga pengajar dan juga Pengetua sekolah Yayasan Anda Akademik. Sekolah ini akhirnya juga berpindah ke Bangunan UDA Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur .

Luapan semangat kebangkitan semula menyebabkan sekolah ini tempat ramai tenaga pengajar sukarela menyuguhkan ilmu kepada anak bangsa dengan percuma. Model yang sama juga telah ditubuhkan di Terengganu oleh aktivis ABIM ( Kemudiannya adalah menjadi pimpinan PAS) pada pertengahan dekad 1970an ,iaitu Institut Berakan di Pengadang Akar Kuala Terengganu. Ustaz Abu Bakar Cik, Dr Abu Bakar Abdullah , Cikgu Safinah Jusuh dan lain-lain telah menubuhkan sekolah persendirian yang bukan sekadar membuka peluang kepada pelajar tercicir namun sebagai markas gerakan pelajar dan gerakan mahasiswa Islam. Di Kelantan pula terkenal dengan institut an Nur, juga berorientasikan kebajikan dan perkaderan dakwah dibawah seliaan aktivis ABIM.

Anwar menjadi sebutan kerana Yayasan Anda Akademik juga menerbitkan majalah dan tarikan pesona kepada orang Melayu ialah yuran belajar yang murah. Permintaan luar biasa daripada anak-anak remaja untuk menjadi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (MSE) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (HSE) , walaupun pada masa yang sama ada puluhan sekolah swasta yang lain. Membuak permintaan ini maka sekolah swasta ini turut menawarkan pakej baru iaitu
pembelajaran Gaya Pos untuk pelajar yang tercicir, turut menjadi pesaing sistem ini ialah Maktab Adabi dan Adabi Gaya Pos.

Anwar yang menjadi Presiden ABIM mulai tahun 1974 ( sebelum itu Setiausaha Agong) menjadi popular kerana mengambil ruang yang ditinggalkan oleh PAS, apabila parti Islam itu menyertai kerajaan campuran selepas tragedi 13 Mei. ABIM menjadi jurubicara ummah yang berkesan dalam fasa “vacum ” ini , termasuk kebangkitan mahasiswa Disember 1974 menyebabkan Anwar dan segelintir pemimpin anak muda mendekam dalam tahanan ISA. Pemimpin anak muda di negeri-negeri juga hebat , Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Terengganu, Ustaz Ibrahim Mahmud ( Ibrahim Libya ) di Kedah, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Nakhaie Haji Ahmad, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman dan lain-lain tokoh anak muda dalam dekad 70an.

Suara anak muda Islam ini sangat kuat menjerkah ummat yang sedang tidur, antara yang pernah melakar sejarah ialah demonstrasi bantahan terhadap Soviet yang menjarah bumi Afghanistan pada tahun 1979. Pada tahun 1980 puluhan ribu anak muda berarak daripada masjid Kampong Baharu ke Kedutaan Soviet. Kerajaan Malaysia membatalkan penglibatan atlet Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980 kerana melihat kemarahan rakyat Malaysia terhadap kezaliman beruang merah komunis Soviet.

Ohh,,panjang pula kita kembali ke terowong masa dekad 70an. Aku meninta sejam sebelum detik jam 12 malam menjelang 13 oktober, hari khabarnya DS Anwar akan mengadap YDPA untuk plan peralihan kuasa . Bersorak sorai avatar PH sejak seminggu lepas menyanyikan lagu awal kemenangan termasuk seorang mantan Exco kerajaan Perak , juga mantan exco Johor daripada PAN .

Aku tak berminat untuk meruak sosok dan tampang Anwar selepas tahun 1982, cukuplah malam ini untuk dekad 70an. 13 Oktober 2020 pastinya akan merakam sejarah, berjaya atau gagal,suka atau duka, pastinya lagu KS Kevin ” Abadikan Tragedi” yang dinyayikan oleh Mael XPDC dan “Tragedi Oktober” yang disenandung oleh Awie cukup rencah dan perisa untuk kita renungi . Berjayakah Anwar merengkuh kuasa dan menduduki tahkta PM kesembilan?

( Penulis adalah Pengerusi LESTARI, AJK PAS Pusat)