Mengembalikan Semula Besut Sebagai Kubu PAS Terengganu.

225

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Daerah ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar, terpisah sub budaya daripada arus perdana Terengganu dan dalam kelasnya yang tersendiri. Daerah agrarian yang dahulunya mempunyai kerajaan dan istana yang terletak di Kampong Raja Besut, kadang mengundang canda masyarakat luar dengan menggelarkan daerah ini sebagai “Republik Besut”.

Besut dengan pusat bandarnya, Jerteh yang mula dibangunkan dalam dekad 1930an dan 40an, berhampiran Sungai Besut yang menyimpan sejuta rahsia pahit manis warga daerah ini. Besut dalam sejarahnya juga mempunyai pondok-pondok pengajian Islam pada zaman dahulu di Kampong Alor Keladi, Padang Luas, Bukit Puteri, Kampong Mat Sara, Kampong Raja, Kampong Nangka dan lain-lain.

Kontradik juga apabila daerah ini terkenal dengan tempat perjudian pada awal abad 20, juga ada tempat persundalan di Kuala Besut. Daerah gelap ini juga meriah dengan jajaran bangsal tomoi dan persilatan, bahkan pertandingan tomoi mampu menarik ribuan manusia di Astaka Jerteh. Sejujurnya, sosio budaya daerah ini lebih menepati karektor “orang Kelantan” ketimbang orang Terengganu. Suatu masa dahulu warga Besut lebih gemar menggunakan plat kenderaan huruf D berbanding T sehinggalah keadaan berubah pasca 2004.

PAS Besut telah ditubuhkan pada tahun 1957 dan lebih awal daripada itu, dua orang ulama Besut telah menghadiri penubuhan Hizbul Muslimin pada Mac 1948. Perjuangan Islam subur di daerah ini, paralel dengan meriahnya pusat pendidikan Islam.

Besut pada Pilihanraya tahun 1959 ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini menewaskan parti PERIKATAN/ UMNO. Saat itu semua DUN di daerah Besut berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951.

Besut dengan jajaran sekolah pondok, sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu pasca Pilihanraya 1959 juga dilantik daripada anak Besut, iaitu Haji Daud Samad.

Dekad 1980an, daerah ini mencuat namanya apabila dikaitkan dengan radikalisme dan perpecahan masyarakat. Kerajaan menahan tokoh- tokoh PAS Besut dibawah ISA seperti Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Stimat Yusuf, Ustaz Omar Khalid dan lain- lain. Ada ahli PAS Besut yang terlibat dengan tragedi Lubuk Merbau pada tahun 1985, juga ceramah PAS di Kampong Keluang Besut digempur oleh asap gas pemedih mata pihak keselamatan.

PAS Besut gigih membangunkan markas tarbiah disetiap DUN, meluaskan jaringan pendidikan dan dakwah. Pentadbiran PAS Besut pernah digantung pada tahun 1998 dan kali keduanya pada tahun 2018. Segala mehnah dan tribulasi ini tidak menghalang PAS Besut memperbanyakkan ahli dan menambah cawangan-cawangan diseluruh daerah.

PAS kali kedua memenangi Terengganu pada PRU tahun 1999, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman UMNO/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger dijalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh regim Mahathir. Kawasan “Malay Belt” sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat-empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini.

Presiden PAS memberikan mesej yang serius untuk menawan Terengganu dalam PRU 14 dengan melantik Dato Husein Awang, anak Besut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk sesi 2017-2019. PRU 14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018 telah menyaksikan Terengganu ditawan oleh PAS untuk kali ketiga. Besut paling tercorot dalam penguasaan PAS, hanya menang satu DUN iaitu di Kota Putera. Anak Besut iaitu DS Dr Samsuri Mokhtar ( Rhu Rendang) telah dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu.

PAS kawasan Besut telah menunjukkan keseriusan gerak kerja dengan menumpukan kepada kekuatan akar umbi. Pelbagai program tajnid dan amal tarbawi telah diadakan seperti ijtimak tarbawi, tamrin qiadi, aktiviti pembinaan fikrah di cawangan-cawangan. Kegiatan jihad ta’lim disuburkan dengan menubuhkan institusi pendidikan seperti SRIDAF, PASTI, Kompleks Pendidikan Besut serta pelbagai maahad di bawah jaringan tokoh PAS untuk mencetak kader-kader dakwah bagi memastikan kesinambungan perjuangan Islam.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat/ Penyelaras Parlimen Besut)