Tangani Segera Kenaikan Kritikal Kos Bahan Makanan

466

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Pakatan Harapan(PH) mestilah mengambil langkah drastik yang segera dalam menangani kenaikan kritikal kos bahan makanan yang melampau.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata ianya
menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang sudah tentunya tinggi dan membebankan rakyat di kala keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Kenaikan import bahan makanan juga di antara punca harga kos bahan makanan melambung, import bahan makan semakin meningkat kerana negara tidak mampu menghasilkan cukup bahan makanan untuk kegunaan domestik,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu jugak memberitahu demikian di dalam kenyataan medianya yang bersetuju dengan saranan DYMM Sultan Perak, supaya Kerajaan mengambil langkah drastik yang segera dalam menangani masalah tersebut.

Di dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 17 April di sini itu, Khalil berharap supaya kerajaan perlu memberikan semula penumpuan dan keutamaan kepada industri pertanian setelah sekian lama memberikan tumpuan kepada industri teknologi dan perusahaan berat.

“Kerajaan perlu menggalakkan semula sektor pertanian, mengenal pasti kawasan yang sesuai di bangunkan, jenis makanan atau tanaman yang sesuai serta menjadi keperluan utama,

” Dan menggalakkan anak tempatan terutamanya graduan yang mengganggur untuk menceburi sektor pertanian, dengan pelbagai agensi yang terbabit di dalam sektor pertanian, kerajaan sebenarnya mampu untuk membangunkan sektor pertanian untuk menampung keperluan domestik, ” katanya lagi.

Menurutnya, sektor pertanian negara perlu di modenkan untuk menampung keperluan domestik.

” Sebelum negara bergantung sepenuhnya kepada import makanan, keadaan pertanian tempatan menjadi kritikal serta tidak mampu menampung keperluan dan kos bahan makanan melambung tinggi hingga menyebabkan ia menjadi beban,” jelas beliau.

Beliau seterusnya mencadangkan agar kerajaan mengubah atau menetapkan hala tuju pertanian negara dengan menyediakan pelan jangka pendek mahu pun panjang untuk mengatasi masalah tersebut.

” Sekali lagi Kerajaan perlu sedar dan ingat janji manifesto PH ketika pilihan raya umum(PRU) lalu iaitu menurunkan kos sara hidup dan sudah tentunya kos harga makanan termasuk di dalamnya.

” Jika kita tanya rakyat sekarang, adakah kos tersebut sudah turun, sudah tentu sambil tertunduk mereka menidakkannya. Bermakna Kerajaan PH sekali lagi gagal menunaikan janji mereka dan gagal dalam menunaikan harapan rakyat Malaysia,” tambahnya penuh rasa kecewa.