75 Orang Pelajar PASTI Dapat Baju Raya

543

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 1 Jun 2019 – Seramai 75 orang pelajar miskin dan anak yatim Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Besut mendapat pakaian raya percuma.

Hal ini kerana telah berlangsung satu program Beli Baju Raya bagi Pelajar Miskin dan Anak Yatim PASTI Kawasan Besut yang bertempat di Zon Ria Kuala Besut pada 1 Jun 2019.

Program ini telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu dan Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh.

Pelajar-pelajar PASTI turut menerima sumbangan duit raya daripada YB Haji Nurkhuzaini Ab Rahman dan Haji Azbi Salleh.

YB Haji Nurkhuzaini ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata program sebegini dapat meringankan beban ibu bapa pelajar bagi menyambut hari raya yang bakal tiba dalam beberapa hari sahaja lagi.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa namun ianya cukup bermakna bagi pelajar-pelajar miskin dan anak yatim”, ujar beliau.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah PASTI Kawasan Besut, Syamri Razak.

Katanya lagi, “Program sebegini akan diteruskan pada masa-masa akan datang supaya mereka yang kurang berkemampuan akan terus dibantu dan diberi perhatian”.