Golongan Anti-Vaksin Yang Menipu

176

Oleh : MNA

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan satu berita berkenaan kematian seorang bayi yang disahkan telah diserang dengan satu penyakit yang dinamakan difteria. Menurut seorang doktor pakar kanak-kanak, penyakit itu adalah satu penyakit yang beliau dakwa sudah lebih 30 tahun tidak dikesan. Ianya sudah terkawal sekian lama dan kejadian ini berpunca daripada kegagalan ibu bapa memberikan suntikan vaksinasi kepada bayi mereka.

Sebenarnya, ini adalah antara masalah yang tidak seharusnya kita hadapi, kerana langkah pencegahan yang telah sedia ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan adalah sangat baik. Masalah yang lebih besar pastinya akan berlaku jika ditakdirkan Allah, wabak berlaku kerana asbab penyakit itu yang tidak mahu dikawal oleh ibu bapa yang degil melalui suntikan vaksinasi ini, terkena kepada anak orang lain pula.

Tidak hanya pandangan pakar perubatan, malah, pandangan pakar agama juga telah dirujuk, bagi memastikan perkara ini adalah betul mengikut agama Islam. Berbagai perbincangan, bukti dan dalil telah dipersembahkan oleh pakar-pakar ini kepada umum, namun, masih ramai juga yang tidak mahu menerima penjelasan dan juga penjelasan yang secara saintifik dan hukum, dibuktikan mereka. Mereka lebih senang menelan fatwa media sosial. Apa yang terlintas, semua mereka sahkan, tanpa ilmu.

Tiada sebab lain atas penolakan ini kecuali kerana kejahilan, keras kepala dan paling jahat ialah kerana mereka mempunyai agenda terpenting di belakang semua kempen menolak vaksin ini iaitu menjalankan perniagaan mereka sendiri. Mereka menuduh syarikat pengeluar ubat memonopolikan perniagaan ubat serta mencipta virus-virus baharu bagi keuntungan perniagaan mereka, namun, apabila mereka berkempen menolak ubat-ubatan moden, mereka kemudiannya, diakhir kempen, mula menghulurkan kertas-kertas penerangan berkenaan produk ubat-ubatan mereka yang dakwa mereka suci dari kimia, terbukti sebagai produk terbaik. Dan harganya? Bisa menggugurkan jantung yang mendengarnya.

Begitulah perihal mereka yang sebenarnya menjalankan aktiviti gelap, dalam masa yang sama menghuduhkan lawan mereka dengan berbagai cerita-cerita yang diperbesar-besarkan. Tidak dinafikan ada kegagalan dalam perubatan moden. Mereka menggembar-gemburkannya dan dalam pada itu segala kegagalan mereka membuktikan secara saintifik produk mereka, ditenggelamkan dengan cerita buruk terhadap produk moden ini.

Tidak sedikit yang terkena dengan kelicikan tipu daya mereka. Ibarat semua yang lain daripada mereka kerjanya mahu membunuh manusia lain. Ironinya jika sesuatu terjadi kepada pengikut mereka, hospital juga tempat mereka mengadu. Dan jika masih gagal diselamatkan, mereka kemudiannya menyalahkan orang lain. Silap-silap pesakit mereka itu juga akan disalahkan. Mereka tiada silap, maksum. Jahatnya mereka.

Tidak terkecuali juga dalam politik. Golongan seperti anti vaksinasi ini terlalu ramai dalam medan politik negara sekarang. Yang menyedihkan, sangat ramai golongan yang terdiri daripada rakyat biasa yang terkena dengan penipuan mereka, termasuk golongan terpelajar. Mereka dengan jelas memperbodohkan rakyat dengan cerita dongeng mereka. Mereka memberikan harapan palsu kepada rakyat. Mereka menwar-warkan produk mereka lebih baik daripada yang lain. Strategi pemasaran mereka dengan cara fitnah dan menipu sangat berkesan. Rakyat berbondong-bondong membeli malah turut mempromosikan produk mereka kepada teman dan saudara. Kesilapan rakyat juga kerana membeli borong informasi fitnah ini melalui media sosial, gagal memeriksa kesahihannya.

Janji mereka bulan dan bintang kepada rakyat. Mereka menyenaraikan kejahatan orang lain dan berpura-pura dengan menunjukkan kononnya rekod baik mereka. Kita sedia maklum akan kegagalan BN, pemerintah waktu itu menjaga negara dan seharusnya mereka dihukum oleh rakyat. Tetapi kepada jemaah yang tidak pernah didapati menyeleweng seperti PAS juga turut difitnah dengan dahsyat. Mereka bertujuan untuk mengambil negara tercinta ini dengan cara kononnya demokratik melalui PRU tetapi menipu. Tetapi apabila selesai PRU, mereka juga menjalankan modus operandi yang sama seperti kerajaan memerintah yang dahulu. Malah lebih teruk.

Penyakit yang sedang merebak seperti isu agama dan institusi istana yang seperti dipermain-mainkan, isu gaji minima, cukai, pemandu teksi, harga barang naik, LGBT, tol, kejatuhan mata wang, bahasa, termasuk juga perbalahan sesama mereka dengan lemparan kerusi, bertumbuk ketika pemilihan parti mereka dek kerana berebut jawatan dan banyak lagi, telah menjadi perbualan rutin bagi rakyat terbanyak.

Rakyat tidak bodoh, tetapi ditipu dengan janji manis mereka ketika kempen dahulu. Rakyat sekarang menyesal kerana tidak mengambil vaksin yang diberikan oleh PAS dahulu. Mereka merasakan penyakit yang menjadi wabak itu sekarang mulai memberikan kesakitan. Rakyat beramai-ramai pergi mengadu kepada pemerintah yang baharu. Tetapi hampa, jawapan mereka ialah menyalahkan kembali rakyat. Rakyat sebaliknya dihina dengan mereka memungkiri janji yang mereka taburi kepada rakyat suatu ketika dahulu. Mereka juga tidak putus-putus menyalahkan kerajaan lama dan PAS juga. Ia menjengkelkan rakyat.

Sebahagian mereka ketika ini sedang dengan pantas mengaut segala kemungkinan keuntungan politik bagi memperkukuhkan kedudukan mereka dan juga menerima pingat bergelar, walau tidak tahu apa jasa mereka selama lima bulan ini. Mereka sedang menumpukan membantu bangsa mereka dan mahu membalas dendam terhadap bangsa utama di negara ini. Agak malang kerana terdapat ramai lagi rakyat yang bukan sahaja tidak sedar, tetapi mereka juga menjadi pelindung kepada golongan ini. PAS terpaksa menerima juga kesan kejahatan golongan anti vaksin politik ini dengan permulaan mereka menahan bayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu yang sepatutnya sudah dibayar. Kedua-dua negeri ini majoriti rakyatnya ialah Melayu Islam.

PAS tetap akan mempertahankan maruah Islam dan rakyat ini. PAS tetap akan menentang segala macam kejahatan yang pastinya bertentangan dengan Islam. Jika ada golongan yang ingin bersama PAS dan bersetuju paling kurang tidak menghalang Islam yang PAS ingin tegakkan, maka PAS atas nama kebaikan akan menerima mereka dengan hati terbuka. Ini semua hanyalah bagi kesejahteraan Islam dan rakyat. Marilah bersama-sama PAS, kita melakukan suntikan vaksin politik bagi melindungi diri kita dan keluarga kita dari api neraka jika kita salah mengamalkan politik jahat, menipu dan dendam. Vaksin politik yang PAS berikan ialah al-Quran dan sunnah. Jauhkan diri anda dari golongan anti-vaksinasi politik ini, anda sudah menyesal dan diharap jangan pula akan menyesal lagi.