70 Orang ‘Duyufurrahman’ Dirai

619

Oleh : KHALID ABDULLAH

KEMAMAN – Seramai 70 duyufurahman yang akan berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji, musim ini diraikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dalam suatu majlis.

Ir Saiful Azmi Suhaili merakamkan ucapan tahniah kepada semua jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Anda semua beruntung kerana terpilih dalam kalangan lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia untuk menjadi tetamu Allah SWT dan peluang keemasan itu perlu dimanfaatkan,

“sebaik mungkin dengan mengerjakan ibadah sebaik-baiknya,” katanya pada majlis yang diadakan di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, di sini petang tadi.

Tambah YB Ir Saiful Azmi lagi, ibadah haji adalah ibadah yang menguji kekuatan dan daya tahan iman justeru persiapan yang rapi dari segi rohani dan jasmani sangat diperlukan untuk menyempurnakan ibadah tersebut.

“Saya berharap para jemaah haji dapat menjaga kesihatan dan makan minum dengan baik sepanjang menunaikan ibadah haji agar dapat menjalani ibadah haji,

“sehingga selesai selain perlu banyak bersabar dalam menempuh pelbagai ujian dari mula hingga akhir,” ujarnya.

Beliau turut berpesan agar para jemaah haji tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan diri, keluarga dan rakan-rakan ketika berada di Tanah Suci.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Masjid Tengku Mizan Zainal Abdin, Cikgu Tuan Zahari Tuan Long dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits) Dun Kemasik, Ustaz Mohamad Asri Kadir.

Secara keseluruhan seramai hampir 100 orang warga Kemasik akan menunaikan haji pada musim 2018 di mana penerbangan paling awal ke Tanah Suci adalah pada malam ini.