68 Tahun PAS, Radarnya Terus Berfungsi

154

68 Tahun PAS, Radarnya Terus Berfungsi

68 tahun lalu, pada 24 November 1951, PAS telah ditubuhkan bagi menampung lompang kekosongan parti Islam di Tanah Melayu ketika itu. Umno yang telah wujud lima tahun terdahulu, sekira-kiranya, tidaklah menjadi pembuka selera bagi ulamak-ulamak untuk duduk bersama mereka. Apatah lagi untuk berkumpul bersama memikirkan masalah umat Islam.

Oleh kerana melihat keperluan mendesak sebuah jemaah Islam perlu ditubuhkan, setelah peranan sayap dalam Umno, tidak dapat memenuhi tuntutan kumpulan ulamak itu, maka mereka bersepakat bahawa, Umno bukanlah wadah untuk Islam berjaya ditegakkan. Justeru, setelah mengadakan perhimpunan ulamak di Bagan Tuan Kecil, Seberang Prai, Pulau Pinang, dengan tekad dan keazaman yang kuat bagi mendaulatkan Islam, PAS ditubuhkan.

Banyak sumber bagi anda membaca sejarah penubuhan PAS. Bagi ahli-ahli PAS, langsung tiada keaiban bilamana PAS dikatakan keluar dari benih Umno. Apa kurangnya PKR? Bersatu? Dari mana asal tanah mereka? Manakala DAP pula butir tahi PAP di Singapura yang kita tahu bagaimana bencinya dengan Islam. Dan sudah tentu, paling hina ialah butir kepada butir tahi ini, khadamnya kepada DAP. Itu tidak perlu dibincangkan lagi. Ejekan-ejekan sebegini, tidak ubah seperti kanak-kanak berkelahi.

Yang saya ingin mengajak anda semua berfikir, bagaimana radar PAS terus berfungsi dengan baik, malah semakin baik. Semenjak dahulu, PAS diketahui sebagai sebuah pertubuhan yang menjalankan bukan sahaja tugasan politik, malahan juga melebarkan dakwah Islam ke serata negara. Tidak setakat itu, PAS juga mempunyai rangkaian sahabat dari parti-parti Islam di seluruh dunia. Membuktikan PAS dipercayai sehingga peringkat antarabangsa.

Radar PAS yang saya maksudkan ialah asas kepada penubuhan parti ini. Radarnya menentukan sehingga kawasan mana PAS boleh bergerak bebas, zon mana yang tidak boleh dilampaui, apa tindakan jika ada pencerobohan dilakukan dalam kawasan kawalan PAS dan bagaimana jika sesuatu itu yang berada dalam kawasan PAS, kemudiannya keluar pergi, apa tindakan PAS.

Sehingga kini, selama 68 tahun, PAS dikenali dan diikat oleh seluruh masyarakat dengan Islam. Apabila PAS melakukan apa yang musuh fikir salah, segera mereka membuat kenyataan PAS telah melanggar hukum Islam. Apabila sesuatu yang dilakukan PAS, bersesuaian dengan kehendak Islam, maka akan kedengaran pihak yang menyukai berkata, PAS menjalankan tanggungjawab mengikut kehendak Islam.

Begitulah kukuhnya simpulan PAS dengan Islam. Tidak boleh dilakukan kejahatan, kerana segera akan direspon orang, parti Islam apa begitu? Manakala jika dilakukan kebaikan, mereka terkadang menanggap ianya sudah menjadi kewajipan PAS, tiada yang pelik jika PAS mengikut Islam. Berlawanan dengan parti sekular. Mereka tidak dilayan begitu. Jika kejahatan yang mereka laukan, rakyat diam, tiada rasa hairan kerana memang perangai mereka begitu, selalu kontra dengan Islam. Sekali mereka melakukan kebaikan menurut jalan Islam, maka seruan kebanggaan segera ditiupkan kerana megahnya mereka rasa.

Bagi PAS, membina masjid, dengan wang poket penyokong sendiri, tanah, bahan binaan, semuanya adalah aktiviti wajib. Sangat biasa jika dilihat surau PAS berada tidak jauh antara satu sama lain. Manakala kepada kumpulan sekular, hanya tumpang merasmikan masjid yang menggunakan wang kerajaan, tanpa mereka terlibatpun dengan kerja membinanya, dikira seperti sudah masuk ke syurga. Sangatlah meriah sambutan perasmiannya. Dan setelah habis dirasmikan, masjid itu kembali kosong, tanpa diimarahkan.

Inilah radar PAS. Mereka sedar akan keperluan membina masjid, menderma, bagi melebarkan ilmu Islam melalui dakwah. Tiada tempat, mereka adakan, tiada wang, mereka carikan, tiada jemaah, mereka kumpulkan. Mereka tidak meninggalkan masjid dan surau begitu sahaja. Perasaan berdosa pula tertimpa mereka jika masjid dan surau itu kosong. Diusahakan juga untuk diimarahkannya. Termasuklah juga sekolah-sekolah samada tahfiz ataupun SAR, ahli PAS akan dirikan. Dan berapa ramai sudah dilahirkan huffaz dan ulamak dari sekolah PAS yang pernah ditanya orang dahulu, mahu makan apa besar nanti.

Dan begitu juga menjadi asbab kehinaan orang kepada PAS. Kata mereka, PAS sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa, dahulu haram, kini boleh, dahulu halal, kini berdosa. Sebenarnya sangat salah pandangan itu. Mereka tidak tahu yang bahawa, PAS tetap berada dalam radarnya itu. Radarnya mengikut al-Quran dan Sunnah, ijmak dan qias. Tiada selain daripada itu.

Pernah dengar PAS menghalalkan judi berlesen? Tidak, maka bandingkan dengan negeri-negeri lain yang dikuasai oleh parti selain dari PAS. Jelas, PAS ikut al-Quran. Riba dihapuskan dalam pinjaman kerajaan, adakah negeri lain juga secara total mengikut kehendak Allah ini? Nyata mereka terkeluar dari landasan. Di manakah negeri yang mengangkat qisas dan takzir sebagaimana yang dilakukan oleh Kelantan dan Terengganu? Ya, diakui, walaupun masih jauh dan hudud juga tidak dilaksanakan, tetapi ianya di luar bidang kuasa negeri.

Tidak perasan saya di negeri mana yang telah melaksanakan hukuman kepada pesalah yang tidak menunaikan solat Jumaat? Terengganu sudah. Terengganu juga dikutuk oleh golongan yang bencikan Islam kerana hal ini. Juga berkenaan hukuman sebat terhadap pesalah lesbian dan homoseksual, yang menggelupur, orang-orang di luar Terengganu. Si pesalah tiada apa-apa pula. Dalam berkempen politik pula, pernahkah muslimat PAS membuka aurat mereka semata-mata mahu memancing undi?

Ada tak pimpinan muslimin PAS berswafoto duduk berdua dekat-dekat dengan wanita lain? Yang ada terjadi, orang luar menutup aurat kerana malu kepada pimpinan PAS. Belum pernah PAS membenarkan pertandingan tatu separuh bogel. Pedulikan bermula tahun bila, yang sahih, ia bukan anjuran kerajaan PAS. Nak sembang pasal rasuah? Kelantan, Terengganu, sama sahaja, tiada kes. Paling hebat, dibuka pula pintu 25 jam sehari bagi SPRM menyiasat. Siapa yang buat, dia pasti kena.

Apabila Pan mahu menubuhkan parti baru, mereka keluar dari radar PAS. Sesudah PAS mengatakan mereka hanya akan menjadi khadam kepada DAP, akhirnya terbukti benar. DAP yang pernah sebantal dengan PAS dalam melawan ketidakadilan pemerintah suatu ketika dahulu, berada dalam radar PAS. Tetapi kini mereka yang mengeluarkan diri mereka dari radar PAS, sekaligus, menentang Islam yang PAS perjuangkan. Oleh itu PAS melawan mereka kerana keluarnya mereka dari sempadan.

DAP boleh dilihat menjadi bangga dengan memasukkan unsur-unsur komunis. Gerakan kristianisasi juga berjalan sebagaimana laporan-laporan pengkaji politik. Identiti Malaysia direndah-rendahkan seperti menganjurkan berbagai acara yang jauh menyimpang. Banyak kesalahan-kesalahan yang dilakukan, kemudiannya hanya meminta maaf, mereka terlepas. Dan jelas, semua ini terkeluar dari Islam. Islam membenci sikap begini. Maka PAS benar dalam memutuskan hubungan dengan DAP, kerana Islam.

Umno juga begitu. Mereka setelah berpuluh tahun, duduk di luar garisan yang PAS berada di dalamnya. Sememangnya degil mereka dengan Islam, sangatlah kuat. Itulah yang menjadi titik permusuhan. Namun setelah kalah, mereka meminta maaf dan menunjukkan kesungguhan mereka. PAS mengikut firman Allah, iaitu apabila musuh cenderung untuk berdamai, berdamailah. Selebihnya diserahkan kepada Allah apa yang ada dalam hati mereka.Umno, MIC dan MCA telah masuk ke dalam kawasan PAS secara baik. Jadi PAS akan melayan mereka dengan baik juga.

Inilah saya sebutkan radar PAS yang begitu jelas kehendaknya menurut keperluan agama. Jadi PAS tidak meminda hukum, tetapi merekalah yang mengubah kedudukan mereka sendiri, yang membentuk hukum. Dan PAS hanya bertindak dalam ruang lingkup dan untuk kepentingan Islam, itu sahaja. Tidak dinafikan ianya ada kelemahan, tetapi PAS berusaha dengan sedaya upaya bagi menyempurnakan segala tanggungjawab itu kepada Allah dan manusia. Mungkin PAS masih kurang melakukan untuk Islam, tetapi yang nyata, PAS telah lakukan lebih banyak untuk Islam berbanding parti-parti yang lain.

Selamat ulang tahun ke 68 PAS. Kami bangga menjadi ahli PAS. Kami tidaklah baik, tetapi kami percaya, PAS akan menjadikan kami baik dengan curahan ilmu-ilmu oleh ulamak-ulamak yang duduk berteduh di dalam PAS. Dan PAS akan kekal relevan dengan mengekalkan Islam sebagai dasarnya kerana Allah akan menjaganya. Dan radar Islam, al-Quran dan Sunnah ini, tidak akan menyesatkan penggunanya selama-lama. Itu janji rasulullah.

Mohd Nasir Abdullah
3 Disember 2019