500,000 Dijangka Kunjungi MAHA Terengganu

13484

Oleh : Rohayati Ripin

Gambar : Solahuddin Al – Idrus

KUALA TERENGGANU – ‘Road To MAHA’ adalah satu program mega dijangka 500, 000 para pengunjung yang akan mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan di negeri Terengganu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Dr Azman Ibrahim berkata, terdapat banyak pengisian yang mampu menarik para pengunjung hadir ke program tersebut.

Katanya Road To MAHA akan diadakan pada 25- 27 Oktober 2018 dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Manir sebagai tuan rumah.

“Satu program yang melibatkan peladang, penternak , nelayan serta pelbagai agensi yang terlibat dalam sektor pertanian dengan sektor pertanian,

“Diantaranya kita akan isi program dengan seminar dan taklimat yang melibatkan pelbagai aspek antaranya pemprosesan produk, teknologi pertanian baru, peluang bisnes, kursus asas berkaitan dengan pertanian dan bagaimana peluang pembiayaan yang mampu kita dapat daripada institusi kewangan seperti Agrobank,

“peserta seminar juga akan didedahkan dengan akta kebajikan haiwan dan pembangunan sumber kekayaan baru daripada jabatan pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Road To MAHA di MARDI Manir pada Rabu, 8 Ogos.

Katanya, antara pengisian lain Road To MAHA ialah pameran yang menarik seperti lembu sado, pameran kambing, pameran ikan hiasan, ayam serama, dan ayam ratu serta pelbagai lagi yang dijangkakan mampu menarik para pengunjung berkunjung ke tapak.

Beliau berkata dalam masa yang sama gerai-gerai yang melibatkan penjual pelbagai produk pertanian, penternakan, dan perikanan juga akan diadakan.

Menurutnya, pelbagai agensi kerajaan terlibat antaranya Jabatan Pertanian, FAMA, LKIM, Jabatan Perikanan , Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar , MARDI, IADA Ketara, Lembaga Pertubuhan Peladang, Agro Bank, TEKUN, JPS.

Disamping itu , jelasnya ada juga agensi lain seperti Ketengah, RISDA, FELRA, Felda, TADC, Jabatan Perhutanan, Perhilitan, Jabatan Pelancongan, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara termasuk juga Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.

Beliau menambah, pihak Road To MAHA turut juga mengundang beberapa syarikat swasta untuk mereka memperkenalkan imput-imput dan jentera baru dalam peralatan pertanian samaada imput dari segi jentera , benih, fatagasi, dan produk pertanian.

“Saya mewakili jawatankuasa induk Road To Maha mengajak semua untuk mengosongkan tarikh 25- 27 oktober 2018 untuk sama-sama hadir berkunjung ke MARDI Manir bagi sama-sama memeriahkan dan mengambil sebaik manfaat daripada program yang diadakan,” ujarnya.

Tambahnya, pelbagai produk daripada pelbagai sektor terutama yang dihasilkan usahawan bimbingan FAMA, Jabatan Pertanian,Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia, LKIM, Perikanan, IADA Ketara, Usahawan Veterinar, Usahawan Lembaga Pertubuhan Peladang, Usahawan Tekun, Felda, MARDI dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.