500 Warga Dungun Sertai Kempen Terengganu Bersih

430

Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN – Seramai 500 orang warga Dungun hadir menyertai program gotong royong yang diadakan di Pantai Teluk Gadong semalam.

Ketua Pemuda PAS Dun Sura, Ahmad Faqrukhairi Nag Muddin berkata kempen yang diadakan ini mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Terengganu.

“Menerusi kempen ini, sekaligus kami dapat mempromosikan negeri Terengganu sebuah negeri yang bersih dan bebas sampah suatu hari nanti.

“Kita juga mendapat kerjasama dari kerajaan negeri dengan menyahut seruan dari Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang inginkan Terengganu maju berkat dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di program gotong royong sempena Kempen Terengganu Bersih peringkat Dun Sura.

Tambah beliau, Pemuda PAS Dun Sura sentiasa komited melindungi dan menjaga alam sekitar kerana mereka percaya usaha yang sedikit jika dilakukan berterusan mampu membawa perubahan yang besar kepada masyarakat.

Program yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Dun Sura dengan kerjasama Jabatan Amal Dungun (JAD) turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun, Ahmad Zafran Ismail.

Sementara itu, satu skuad bersih telah dilancarkan oleh Ahli Parlimen Dungun merangkap Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun yang diberi nama Skuad Bersih Amal Kawasan Dungun yang bertujuan melakukan kerja kerja kebersihan secara sukarelawan melalui JAD.

Gotong royong ini juga dilihat mampu mengeratkan silaturrahim antara masyarakat setempat serta mendapat respon yang positif untuk diteruskan lagi di masa akan datang.