257 Buah PASTI Kembali Beroperasi Dengan Norma Baharu

132

257 Buah PASTI Kembali Beroperasi Dengan Norma Baharu

Oleh : Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU – Sebanyak 257 buah PASTI di negeri Terengganu siap sedia untuk dibuka bagi sesi pembelajaran pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mematuhi segala Standart Operating Prosedure (SOP) yang digariskan.

Pengarah Jabatan PASTI Negeri Terengganu, Mohd Al Ghazali Abu Bakar berkata, tempat pengajian tersebut akan kembali beroperasi pada 1 Julai dengan menggunakan norma baharu.

“Para guru hendaklah menitik beratkan aspek keselamatan murid-murid di PASTI masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Antara yang perlu diberikan perhatian adalah penjarakan sosial dan pusat tersebut dibenarkan beroperasi dengan mengambil faktor keluasan premis.

“Pengambilan murid enam tahun adalah diberikan keutamaan berbanding empat dan lima tahun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Taklimat Pengoperasian Semula PASTI oleh Pengarah Jabatan PASTI Negeri Terengganu di Kuala Berang pada semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Mohd Harun Esa, Pengerusi PASTI Hulu Terengganu, Md Irham Nori Abidin, Pengerusi Iman Care Terengganu, Mohd Nasrun Abdullah dan semua Pengurus dan Guru PASTI dalam Kawasan Hulu Terengganu.

Menurut Al Ghazali, satu taklimat telah diberikan kepada ibu bapa sebelum operasi pembelajaran dibuka berkaitan dengan SOP yang dijalankan sepanjang pembelajaran.

“Ianya adalah sangat penting kerana mereka juga memainkan peranan yang besar dalam usaha untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Setiap kelas buat sanitasi, susun atur semula kedudukan pelajar mengikut SOP penjarakan dan mengikut garis panduan yang telah diarahkan oleh pihak kerajaan,” ujar beliau.

Beliau menambah, ibubapa boleh menghubungi guru-guru dan pengurusan pasti cawangan masing-masing untuk mengetahui perjalanan dan pengurusan pembukaan tersebut.

Dalam masa yang sama, NGO Iman Care Terengganu turut menyumbangkan kepada semua PASTI terlibat alat termometer suhu badan infrared, hand sanitizer dan pelitup muka untuk pematuhan SOP baru ini.