24 Peserta RTB Pertanian Terima ‘Borang 5A’

247

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- 24 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kampung Dendang telah menerima borang 5A, setelah sekian lama mengusahakan tanah berkenaan.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, penerimaan borang berkenaan menandakan bahawa 80 peratus tanah tersebut akan dimiliki oleh peserta sepenuhnya.

“Tinggal lagi, peserta perlu menyegerakan pembayaran premium. Usahalah walaupun terpaksa bergadai.

Ahli Jawatankuasa PAS Dungun itu, berkata demikian, ketika berucap pada Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Kampung Dendang, di Balairaya Kampung Dendang di sini pada 29 Julai.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Menurut Ghazali, tempoh yang diberikan untuk diselesaikan adalah tiga bulan jika terlewat, maka akan dikenakan denda amanah.

“Walaupun akan diberi tempoh penangguhan setelah gagal menjelaskannya selama tiga bulan, adalah lebih baik jika disegerakan, kerana ianya akan menamatkan penantian sekian lama untuk mendapatkan geran kekal, ” jelas beliau.

Beliau menjelaskan bahawa Penyerahan Borang 5A di DUN berkenaan merupakan kali ketiga, selepas kejayaan pertama RTB Besol dan diikuti RTB Sungai Angke.

“Di bawah kerajaan yang baru ini peserta boleh memilih samada untuk membuat pajakan selama 60 tahun ataupun 99 tahun,” ujarnya.

Seterusnya beliau menambah, sebelum ini tempoh pajak gadai yang diberikan adalah selama 60 tahun.

“Bayaran premiumnya sedikit sahaja berbeza, iaitu dalam linkungan kurang lebih RM 500. Namun ianya terpulang kepada peserta untuk membuat pilihan,” katanya.

Tambahnya, mereka telah mengusahakan tanaman kelapa matag di tanah berkenaan dan membuat permohonan semenjak tahun 2007 lagi manakala pihaknya mengambil inisiatif menyelesaikannya bermula tahun 2018.

Salah seorang peserta Jamaluddin Abdul Rahman yang sekian lama berkeinginan memperolehi geran kekal, melahirkan rasa terima kasihnya kepada Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pegawai Penyelaras DUN tersebut kerana telah mempercepatkan proses berkenaan.

“Saya pastinya tidak akan melambat-lambatkan proses pembayaran ini.

“Jumlah yang saya perlu bayar bagi pajakan RM 4, 223.00 dan dikenakan bayaran notis sebanyak Rm 5.00, dipajak selama 60 tahun,” jelasnya.