20,000 Rakyat Serbu Rumah Terbuka Idilfitri PAS Terengganu

629

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU-Hampir 20,000 rakyat tanpa mengira parti PAS, Umno dan lain-lain NGO (Badan Bukan Kerajaan) hadir berbondong-bondong meraikan jemputan Rumah Terbuka Idil Fitri PAS Negeri Terengganu.

Orang ramai mula datang bertandang seawal jam 10.00 pagi lagi meskipun jemputan rasminya dari jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang, di kawasan Parkir Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Pimpinan PAS disemua peringkat hadir meraikan majlis itu yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu sesi lalu, Senator Dato’ Hussain Awang bersama Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Pemuda, Muslimat, Ulamak dan Dewan Himpunan Perpaduan PAS (DHPP).

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan tetamu paling awal yang hadir kerana beliau terpaksa menghadiri beberapa program lain selepas itu.

Sementara itu, kehadiran To’ Puan Hajah Zainab Awang pada majlis itu mewakili Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang kini berada di luar negara.

Kehadiran para tetamu juga pelbagai peringkat umur, bangsa dan jantina yang merangkumi semua kaum Melayu, Cina dan India termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta serta persendirian.

Kelihatannya, rakyat cukup gembira dengan senario politik baharu PAS yang mengamalkan pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), sejak beberapa tahun lalu.

Ucapan Selamat Hari Raya silih berganti antara pemimpin PAS, Dewan Pemuda, Muslimat, Ulamak dan Dewan Himpunan Perpaduan PAS (DHPP) yang hadir termasuk wakil Umno Terengganu, yang semakin ‘mesra’ dengan PAS negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Hussain Awang menyifatkan, majlis raya rumah terbuka ini sebagai ‘jambatan’ PAS dengan rakyat umum.

Malah, katanya sebagai jambatan taawun PAS-Umno yang semakin baik demi kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

“Dengan majlis raya hari ini, semua orang boleh datang meraikannya dan ini termasuk kehadiran pemimpin Umno Terengganu. Walaupun hubungan PAS-Umno tegang sekian lama tetapi demi agama (Islam), kita boleh mencari titik persamaan dengannya.

“PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang mahu meletakkan Islam memimpin dan menjaga kepentingan Islam,” ujarnya.

Majlis itu, diserikan lagi dengan kehadiran tokoh pendakwah bebas yang terkenal dengan jolokan namanya ‘UAI’ iaitu Ustaz Azhar Idrus, serta tokoh-tokoh penceramah lain.

Bahkan, majlis hari raya PAS Terengganu itu turut dihadiri oleh kerabat diraja Terengganu iaitu Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang juga Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan isterinya, To’ Puan Nurul Izzati Mohd Yusuf.

Tuan rumah (PAS) juga menerima kehadiran tetamu ‘taawun’ Umno Terengganu termasuk Ketua Wanita Terengganu, To’ Puan Zaitun Mat Amin dan rakan-rakannya.

Paling istimewanya, kehadiran bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dengan dua mantan Adun Tepoh PAS dan Umno iaitu Dr Abu Bakar Abdullah (PAS) dan Mohamad Ramli Noh (BN).

Kehadiran bekas Adun Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh yang mewakili Umno Terengganu bersama beberapa orang Umno lain dilihat semakin mesra dan bersahaja.

Cuma, mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman tidak dapat hadir kerana turut mengadakan rumah terbukanya di Seberang Takir.

Wakil Umno Terengganu, Mohamad Ramli Nuh berkata, beliau pernah bertembung (bertanding) dengan Ustaz Abu Bakar dan Hishamudin dalam pilihan raya.

Namun, katanya demi kepentingan Islam dan bangsa Melayu sedia melupakan sengketa untuk menghadapi musuh politik yang satu.

“Kanda saya Ustaz (Dr) Abu Bakar Abdullah dan Adinda saya, Ustaz Hishamuddin. Kami bertiga ini orang Tepoh, dua sudah jadi mantan dan sekarang seorang jadi Yang Berhormat.

“Saya bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Perhubungan Umno Negeri Terengganu hadir meraikan Rumah terbuka Adil Fitri PAS Terengganu.

“Saya dengan Ustaz Abu Bakar Abdullah pernah bertembung dan dengan Ustaz Hishamuddin pernah bertembung. Tapi atas dasar demi Islam, demi bangsa, atas dasar taawun dan tahaluf, kita berjuang untuk menghadapi musuh besar yang satu, Insya’Allah,” ujarnya dalam ucapan ringkas.

Tinjauan mendapati, pelbagai juadah disajikan kepada rakyat seperti nasi minyak, nasi dagang, sate, kuih muih dan beberapa jenis minuman bagi ribuan pengunjungnya.