200 Asnaf DUN Seberang Takir Terima Sumbangan

549

KUALA NERUS – Seramai 200 orang golongan Asnaf kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan dapur sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia pada tahun ini.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, ianya bertujuan bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi bulan Ramadan yang tiba.

“Ia sebagai tanggungjawab kami atas dasar cakna kepada golongan yang kurang bernasib baik ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kuala Nerus berkata demikian ketika dihubungi pada Ahad, 5 Mei, semalam.

Menurutnya, Program Sinar Ramadhan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Seberang Takir merupakan siri awal program-program sumbangan yang diatur sepanjang bulan Ramadan dan menjelang hari raya nanti.

Justeru itu, beliau mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam khususnya warga Dun Seberang Takir.

“Kedatangan bulan yang mulia ini kita sambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Ia adalah satu kurnia Allah yang besar kepada kita untuk kita penuhi dengan ibadat di dalamnya.

“Kita doakan semoga Allah memberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk kita melaksanakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain sepanjang sebulan ini.Mudah-mudahan kita dikurniakan natijah Taqwa hasil daripada puasa yang kita laksanakan, insya-Allah.

“Dan diharapkan mereka dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dengan lebih baik dan sempurna,” ujarnya.

Tambah Zakaria, sumbangan tersebut telah diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Baru dan dihadiri oleh Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Fazil Wahab