150 bantah sidang kritik perkembangan Islam di Eropah

216

http://www.buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/12/tentangislamofobia.jpgPARIS: Kira-kira 150 orang menyuarakan bantahan mereka awal semalam di luar sebuah bangunan terhadap satu sidang di Paris yang dianjurkan untuk mengkritik trend ‘pengislaman’ Eropah.

Para pembantah itu membawa sepanduk-sepanduk yang mengandungi kekata ‘Bersatu Menentang Islamofobia’ dan ‘Pendukung fahaman fasis, keluar daripada kejiranan kami’.

Mayor Paris daripada Parti Socialis Perancis, Encik Bertrand Delanoe, telah meminta polis supaya mengharamkan sidang itu.

Bagaimanapun, pihak polis membenarkan sidang berkenaan diadakan di bawah kawalan ketat.

Sidang mengenai ‘pengislaman’ di Perancis dan Eropah itu dianjurkan oleh beberapa kumpulan di Perancis, termasuk sebuah kumpulan politik kebangsaan, Bloc Identitaire, yang sering mengadu tentang apa yang mereka lihat sebagai pengaruh Islam yang semakin berkembang di Perancis berbanding dengan perkembangan nilai-nilai Perancis sendiri.

Perancis mempunyai penduduk Islam terbesar di Eropah Barat.

Beberapa ratus orang peserta telah menghadiri sidang berkenaan, yang diumumkan secara meluas menerusi Internet.

‘Penentangan terhadap proses ‘pengislaman’ masih hidup. Tidak ada sesuatu yang boleh menghalangnya!’ kata Bloc Identitaire dalam satu kenyataannya mengenai sidang tersebut dalam laman webnya.

Beberapa penceramah yang datang dari luar Perancis diundang memberikan sumbangan dalam sidang itu.

Encik Oskar Freysinger, seorang penggubal dasar daripada sebuah parti politik kebangsaan Switzerland, Parti Rakyat Switzerland (SPP), tiba di tempat sidang itu diadakan dengan memakai jaket kalis peluru dan diiringi oleh beberapa pengawal peribadi.

Encik Freysinger tahun lalu berkempen untuk mengharamkan pembinaan menara-menara masjid di Switzerland – satu undang-undang yang menerima kecaman antarabangsa apabila para pengundi meluluskannya sebagai mengingkari satu saranan pemerintahnya.

Pada masa rehat makan tengah hari, pihak penganjur sidang berkenaan menghidangkan sajian juadah termasuk sosej babi dan arak – produk-produk Perancis yang jelas diharamkan oleh Islam.

Beberapa negara di Eropah, termasuk Perancis, Switzerland dan Jerman, seperti mengalami satu trend ‘Islamofobia’ berikutan langkah-langkah mereka mengharamkan pemakaian burqa dan pembinaan menara-menara masjid.

Benua itu juga sedang giat mengawal perkembangan kegiatan kumpulan-kumpulan Islam di sana, di samping senantiasa berwaspada terhadap sebarang kegiatan yang disyaki ada kaitan dengan fahaman pelampau dan militan. — AP.