Membangun Budaya Masyarakat Islam

347

Ramadhan 1434H sudah berlalu 20 hari. Begitulah pantasnya pergerakkan masa bagi sesiapa yang istiqamah dengan iman dan amal yang mengharapkan keredhaan Allah SWT dan berjaya menjalani Ramadhan untuk mendapatkan Lailatul Qadar di bahagian akhirnya. Insya Allah.

Sesungguhnya umat Islam telah mempunyai asas kekuatan pada diri mereka sendiri. Pertamanya, mereka mempunyai ilmu asas yang membolehkan mereka mengenal Allah SWT dan mengenal Islam secara yakin. Keduanya, mereka dapat melaksanakan kehidupan mereka dengan melakukan amal soleh. Ketiganya, mereka boleh memposisikan diri sebagai anggota umat Islam yang beragama (mutadayyin).

Namun ketiga-tiga aspek ini tidak banyak manfaatnya dalam pembinaan ummah kecuali ketiga-tiganya akan dapat dipraktikkan dalam konteks penghayatan Islam yang Syumul (dalam ertikata Islam merupakan syari’ah dan cara hidup yang berpegang kepada akidah dan tauhid berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dan menadikan orang Islam sebagai pemimpin yang sebenar).

Persoalannya, bagaimanakah hendak membudayakan masyarakat dengan kehidupan Islam yang Syumul. Saya suka menarik perhatian saudara saudari bahawa PAS adalah sebuah jamaah Islam yang berusaha membangunkan budaya hidup Islam di segenap pelusuk masyarakat dalam negara ini.

PAS bukan sahaja mempunyai jalur kepimpinan dari peringkat Syura hingga ke peringkat cawangan (vertical) bahkan PAS juga memimpin operasi kehidupan berjamaah pada jalur lebar (horizontal) yang merangkumi semua aspek kehidupan seperti politik dan kemasyarakatan.

Golongan cendiakawan seharusnya dapat membantu PAS membangunkan umat Islam di Malaysia melalui pembinaan budaya Islam pada jalur lebar (horizontal) ini. Masing-masing dengan bidang pengkhususannya boleh berperanan melaksanakan amal ma’ruf dan nahi mungkar dalam masyarakat agar budaya hidup Islam dapat dibangunkan di setiap sektor kehidupan.

Walaupun agak sukar untuk berada dalam suasana masyarakat Islam tanpa disokong oleh sistem yang ada dalam negara namun secara penditilannya kita mampu membentuk suasana itu dan mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi sistem itu sendiri. Ia dapat dihasilkan apabila tokoh-tokoh yang memimpin masyarakat dapat membina sub-culture yang menghayati Islam.

Sebagai contoh usaha yang dilakukan oleh kumpulan Alternative Riding Club (ARC) dan Kawan Selebriti bagi membentuk budaya hidup di peringkat masing-masing secara Islam telah memberi impak besar kepada pembinaan budaya hidup Islam dalam masyarakat. Saya menaruh harapan tinggi kepada mereka yang berprofesyen untuk membentuk sektor kehidupan Islam di peringkat masing-masing.

Marilah kita menjadi sebaik-baik umat apabila kita dapat melaksanakan tuntutan ayat Al-Quran (Surah Al-Imran) :

surah al imran ayat 110110. Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik. – http://abubakarchik.blogspot.com/