105 Orang Sertai PAS

7512

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Seramai 105 orang kampung Gong Ubi Keling, Jabi, menyerahkan borang keahlian baru PAS sempena tahun baharu 2019.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, sebanyak empat cawangan PAS telah berjaya ditubuhkan di DUN Jabi selepas PRU14.

Kata beliau, ia menunjukkan isyarat bahawa tahun ini merupakan sesi memantapkan gerak kerja parti agar terus kukuh.

“Malam ini anugerah pertama di awal tahun baru 2019, saya telah menerima borang keahlian baru PAS sebanyak 105 (orang).

“Dan merasmikan penubuhan Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Gong Ubi Keling yang menjadi cawangan ke – 28 dalam DUN Jabi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas selepas merasmikan Penubuhan Jawatankuasa Penaja Pas Cawangan Gong Ubi Keling, Jabi, 1 Januari lalu.

Justeru itu, Dr Azman yakin bahawa PAS DUN Jabi boleh mencapai sasaran menubuhkan cawangan di kesemua 37 MPKK sebelum berakhirnya tahun 2019.

Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, pengukuhan dari akar umbi terus diberi perhatian yang serius bagi persediaan menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke -15.

“Selaras dgn konsep parti menguasai kerajaan, kita tumpukan fokus kerja untuk memperkukuhkan parti dan kerajaan serentak,” ujarnya.