Tolong Selamatkan Orang Zalim

252

Oleh : KAM

MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak melampau dalam sebarang perselisihan pendapat dan perbalahan.

Malah, katanya terdapat hadis Nabi (Muhammad SAW) yang menggesa agar menolong orang kena zalim dan orang yang melakukan kezaliman.

“Oleh sebab itu, bermusuh dengan orang berpada-pada. Sebab itu, kita disuruh buat baik kepada orang. Sama ada orang baik, orang jahat…(kita kena) buat baik.

“Nabi (Muhammad) SAW kata, tolonglah saudaramu yang buat zalim dan yang kena zalim. Maka seorang laki-laki berkata: wahai Rasulullah tolong orang kena zalim kami faham tapi menolong orang berbuat zalim, bagaimana?

“Rasulullah menjawab menghalangi atau mencegahnya dari kezaliman, begitulah cara menolongnya.

“Halang orang yang buat zalim itu, makna tolong orang yang buat zalim. Tolong selamatkan dia supaya dia bertaubat dan balik ke pangkal jalan. Itu cara menolongnya,” jelas Ustaz Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaat buat kali keduanya di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Dato’ Seri Abdul Hadi sebelum ini berehat dari sebarang aktiviti ceramah sejak lebih dua bulan selepas menjalani pembedahan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurutnya, apa yang berlaku hari ini melalui perbalahan dalam akhbar, televisyen dan facebook melampaui batas.

“Apa yang berlaku dalam dunia hari ini, dalam surat khabar, dalam televisyen, dalam facebook…berbalah terlajak. Sehingga hendak marah kepada orang ‘terkam’ habis-habis.

“Dia tidak tahu suatu hari nanti akan berubah. Orang yang dia kasih, sayang suatu hari jadi lawan dan orang yang dia lawan suatu hari jadi kawan. Ini dunia berubah, kita kena faham.

“Beri nasihat dan cakap dengan baik. Bergaul dengan orang dengan percakapan yang baik, jangan kasar,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut merujuk kepada suatu ungkapan kata-kata yang menepati kehendak al-Quran.

“Hadis Nabi (Muhammad SAW) dan ada ulama’ berpendapat ini kata-kata Saidina Ali r.a tetapi maknanya menepati al-Quran.

“Maksudnya, Kasihlah kepada orang yang kamu kasih dengan kadar yang berpatutan, boleh jadi suatu hari dia buat perkara yang tidak molek. Marah kepada orang jangan terlajak (kena ada batas), boleh jadi suatu hari dia jadi orang yang kamu kasih kepada dia. Dengan sebab itu, berbalah dengan orang jangan terlajak,” tegasnya.

Menurutnya, pendekatan kasih sayang dan berhemah itu merupakan perintah Allah SWT kepada para Nabi-nabi dalam berdakwah kepada kaum masing-masing.