Tok Guru Presiden Kembali Bertugas

762

Alhamdulillah… Gembira Tok Guru Presiden kembali bertugas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat setelah tiga kali mesyuarat bulanan sebelum ini kami bermesyuarat tanpa Tok Guru.

Dalam tazkirah ringkas, Tok Guru menyebut bahawa perangai memilih seseorang menjadi pemimpin hanya kerana orang itu banyak wang dan harta adalah perangai Bani Israel. Bila Allah melantik Thalut sebagai pemimpin, Bani Israel menolak kerana Thalut tak ada harta yang banyak walau Thalut memiliki kelebihan akal dan tubuh badan yang kuat.

Islam tak naik dengan harta dan kebendaan. Allah mengekalkan binaan Piramid tinggalan Firaun untuk kita saksikan sampai hari ini dan mengambil iktibar daripadanya tetapi kita tak dapat melihat kehebatan binaan tinggalan Nabi Sulaiman walau Kerajaan Nabi Sulaiman juga sangat hebat dengan binaan yang mengkagumkan tetapi tak dikekalkan oleh Allah untuk menjadi tatapan ummat terkemudian.

Perjuangan penentang syariat Allah akhirnya meninggalkan kehebatan kebendaan duniawi selepas kematian mereka tetapi tidak bagi perjuangan para Nabi yang mewariskan ajaran Allah kepada ummatnya.

Tok Guru juga mengingatkan supaya dalam perjuangan ini, kita jangan hanya baca ‘Ayat Kursi’ tetapi kena baca juga ayat-ayat yang lain. Tak betul bila hanya topik ‘kerusi’ yang menjadi fokus perbincangan dan matlamat gerak kerja kita, sedangkan agenda perjuangan ini hakikatnya sangat luas.

Akhirnya Tok Guru mengingatkan supaya jangan kita leka menjawab isu yang dimainkan oleh lawan politik kita. Ia akan menjadikan kita berpolitik ikut belakang orang. Sekadar ikut punggung orang, maka selamanya kita akan ketinggalan.

Uslub yang diceritakan dalam Quran, para Nabi menjawab sedikit sahaja isu yang dibangkitkan oleh kaum mereka lalu kemudian para Nabi melebihkan usaha memberi penerangan dan penyelesaian mengikut acuan ajaran Allah. Nabi-nabi tidak menghabiskan banyak masa melayan karenah kaum mereka tetapi lebih fokus kepada tanggungjawab menyampaikan syariat Allah kepada ummat.

Catatan
Dr Azman Ibrahim.
AJK PAS Pusat
12 Ogos 2017