Tiga Dekad Akhbar Harakah Mencerdaskan Ummah

585

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 akhbar Harakah beroperasi di medan siasah, tarbiah dan dakwah negara ini. PAS dalam dekad 1980-an telah diasak dengan sangat teruk oleh regim UMNO dan Barisan Nasional. Parti ini menjadi ‘Punching Bag’ (beg pukul) terutama dengan kejayaan UMNO memenangi dan menguasai pilihanraya tahun 1982 sehingga pada tahun 1986.

Di era Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau mula menaiki takhta pada tahun 1981, dan pada tahun 1982 ikon anak muda, Anwar Ibrahim telah menyertai UMNO yang menyebabkan ramai Islamis muda terpinga-pinga melihat gerakan arah dan kesatuan amal Islami di negara ini. kesannya ABIM telah berpecah kepada tiga kumpulan, di mana kumpulan anak-anak muda sebahagiannya telah meletakkan harapan kepada PAS untuk memimpin perjuangan untuk menegakkan Syariah di tanahair kita.

Tokoh-tokoh PAS akhirnya berpakat dan bersepakat untuk melahirkan akhbar sendiri sebagai medium penerangan kepada Parti Islam seMalaysia, apatah lagi dengan kebangkitan Islam yang berlaku di seluruh dunia terutama di permulaan abad ke-15 hijrah.

Dalam dekad 1980-an, bagaimana berlaku tragedi pembantaian kepada ahli-ahli PAS seperti tangkapan ISA, Operasi Padi 1980, yang menyaksikan Ustaz Abdul Halim Arshad, Ustaz Othman Marzuki di tahan di bawah ISA negeri Kedah. pada tahun 1984 pula, tangkapan-tangkapan ISA ke atas pimpinan-pimpinan dan pemuda PAS seperti Ustaz Abu Bakar Chik, Haji Muhammad Sabu, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abdul Latif Muhamad, dan beberapa pimpinan Dewan Pemuda PAS yang lain. tangkapan ISA oleh regim Mahathir ini adalah untuk melenyapkan suara ke atas kebobrokan pemerintah yang berselindung di bawah program penerapan nilai-nilai Islam yang diterajui oleh Anwar Ibrahim. PAS sentiasa diserang melalui akhbar lidah UMNO seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Manakala pada waktu malam, serangan bertubi-tubi melalui TV dan saluran arus perdana. semua ini akhirnya menimbulkan satu kesedaran kepada pimpinan PAS untuk memiliki wadah maklumat yang tersendiri, maka pada tahun 1987 lahirlah akhbar Harakah.

Pada awalnya, akhbar Harakah telah memuatkan banyak tulisan pimpinan-pimpinan PAS dan mempunyai kolum-kolum tertentu kepada pimpinan-pimpinan contohnya kolum ‘Fikrah Perjuangan PAS’ yang ditulis oleh Ustaz Nakaie Haji Ahmad. Manakala kolum ‘Mimbar Jumaat’ pula diisi oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Manakala pimpinan PAS lain yang telah memanfaatkan penulisan sebagai tempat persiapan fikrah kepada ahli ialah Ustaz Harun Taib, Ustaz Hassan Soleh (Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan), Haji Subky Latif dalam kolumnya ‘Saya Kira’, kolum ‘Kuliah 5 Minit’ oleh Ustaz Amaluddin Darus, manakala kolum ‘Siswa’ oleh Ahmad Lutfi Othman, seorang mantan pimpinan pelajar UTM yang terbuang dari kampus kerana isu purdah.

Harakah telah mengalami pasang surut serta jatuh bangun dalam perjuangan untuk mencerdaskan orang-orang Melayu dan juga sebagai bahan bacaan untuk ahli-ahli PAS di seluruh negara. Harakah juga berperanan sebagai agen pengikat ukhuwah, sebagai wahana menyalurkan arahan daripada kepimpinan-kepimpinan dan ahli-ahli serta Harakah juga telah menjadi penyumbang besar kepada pengoperasian PAS Pusat.

Pada tahun 1990, apabila PAS berjaya menawan Negeri Kelantan melalui pemuafakatan politik Angkatan Perpaduan Ummah (APU), maka permintaan kepada akhbar Harakah semakin meningkat terutama Kerajaan Negeri Kelantan yang mula dimiliki oleh PAS.

Kesan daripada kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1990 dengan terlantiknya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, rakyat negara ini mencari berita alternatif kepada Kerajaan Negeri Kelantan, maka Harakah adalah menjadi pilihan kepada mereka. Penjualan Harakah melalui jaringan perniagaan gerai-gerai buku, melalui penjualan di peringkat cawangan-cawangan, akhirnya meningkat penjualan Harakah sedikit demi sedikit. Pihak kerajaan melalui pihak polis dan kdn sentiasa memantau penjualan Harakah, malah kadang-kadang para penjual ditakuti dengan rampasan-rampasan akhbar Harakah oleh KDN dan pihak berkuasa.

Akhbar Harakah juga telah menjadi juru bicara ummah, di mana pelbagai berita dan rangkuman berita dalam dan luar negara berkaitan tentang gerakan Islam, termasuk di Algeria, Palestin, Tunisia, Mesir, Subcontinent, dan juga keadaan semasa umat Islam di peta luka umat Islam disiarkan oleh akhbar Harakah. Tulisan-tulisan baik daripada penulis Harakah juga digunting dan ditampal di markas dan di surau-surau di seluruh negara.

Dengan berlakunya pemecatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada tahun 1998, telah menyebabkan jualan Harakah telah meledak di pasaran melebihi 300 ribu naskhah bahkan hampir 400 ribu naskhah. Harakah menjadi bahan bacaan politik kepada pencandu politik dan penyokong Anwar Ibrahim, di mana PAS telah mengalami kebanjiran keadaan baru, pasca Reformasi. Walaupun pihak KDN bertindak tegas untuk menghalang penjualan Harakah, namun tidak menghalang rakyat daripada berusaha untuk mendapatkan naskhah ini sehingga cetakan ratusan ribu ini, Harakah tersebar ke seluruh pelosok kampung, felda dan kawasan pedalaman.

Dalam pilihanraya 1999, PAS telah memenangi 27 kerusi Parlimen, dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri, parti ini berjaya merengkuh kembali kekuasaan di Terengganu dan mempertahankan Negeri Kelantan yang dimenangi sejak tahun 1990. Permintaan terhadap Harakah semakin tinggi dengan besar permintaan daripada kelompok kelas menengah Melayu untuk mereka mendapatkan berita-berita atau maklumat selain daripada medium arus perdana negara ini.

Akhbar Harakah juga menjadi medan melahirkan ramai penulis berbakat, mengeluarkan wartawan yang tahan uji serta wadah maklumat untuk ahli-ahli. Dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat, kemunculan akhbar talian, pesatnya dunia android sehingga setiap saat pelbagai berita dikemaskini di tangan, maka ia turut memperlahankan media cetak termasuk akhbar Harakah. Harakah telah menempuh zaman kegemilangannya dan bagi saya secara peribadi, akhbar inilah juga yang melatih saya menulis dan berekspresi. Bermula zaman kampus (1991) dengan menggunakan nama pena “Abdul Kader Hachani” menghantar berita ke Harakah dengan harapan tulisan anak muda kail sejengkal ini disiarkan pihak Editor.

Akhbar ini juga merakamkan sejarahnya dengan tinta emas mencerdaskan bangsa dan mendobrak kebobrokan dan kebejatan regim pemerintah.