Razif Tak Reti Politik Langsung!

2713

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebagai ‘tidak tahu politik langsung’ apabila beliau berkata akan meminta konsensus MCA, MIC dan Gerakan dalam membuat keputusan untuk melaksanakan perundangan Islam di Terengganu.

Ahli Panel Penasihat PAS Pusat Datuk Wan Mutalib Embong berkata, seharusnya Razif memberi kefahaman mengenai perundangan syariah supaya lebih difahami rakan-rakan bukan Islam.

“Itu bukan pendekatan orang Islam. Sepatutnya kita ‘mencerahkan’ orang bukan Islam kepada Islam, bukan kita hendak ambil panduan daripada orang bukan Islam.

“Dan kita tahu kekuatan MCA tiada lagi di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jamuan Raya Majlis Tindakan DUN Batu Burok, di sini pada Sabtu 15 Julai.

Dalam laporan media Jumaat lalu, Ahmad Razif turut menyebut bahawa kerajaan tidak akan meminggirkan pandangan parti komponen dalam BN dengan mengambil kira hasrat dan kebimbangan mereka terhadap sesuatu isu.

Mengulas lanjut mengenai hukuman sebat di Kelantan, Wan Mutalib berharap ia dapat dilaksanakan, dalam masa yang, sama kerajaan Kelantan memberi kefahaman secara menyeluruh kepada rakyat.

Beliau yang turut terlibat dalam menggubal Enakmen Syariah di Kelantan dan Terengganu semasa menjadi Pengerusi Lajnah Perundangan dan Penasihat Undang-Undang kepada PAS suatu ketika dahulu berkata, apa yang penting buat masa ini adalah memperkenalkan kelebihan undang-undang Islam supaya penerimaan kelak dapat diterima rakyat yang kebanyakannya disifatkan masih lagi kabur.

Katanya, pendekatan tersebut perlu dibuat supaya rakyat lebih memahami dan bersedia menerima pelaksanaannya kelak berikutan Rang Undang-Undang (RUU) 355 akan membuka jalan bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah.

“Kita kena guna pendekatan itu, perkenalkan undang-undang Islam ini dan beritahu rakyat, orang Islam bahawa undang-undang Allah ini yang tertinggi dan kelebihan undang-undang Islam ini kena ditonjolkan supaya rakyat tahu…Penguatkuasaan itu ikut keupayaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai beberapa pihak yang cuba mempersoalkan hukuman sebat di Kelantan sehingga menjadi polemik, Wan Muttalib meminta supaya pihak terlibat perlu yakin dengan undang-undang Islam.

Beliau turut meminta supaya al-Quran dan sunnah tidak harus diketepikan sehingga mempersoalkan perkara tersebut.

“Kalaulah undang-undang Allah tidak baik, apa guna jadi orang Islam? Apa guna letak iktikad pada Islam? Islam (agama) tertinggi (sebab itu) kita pilih Islam kerana yakin.

“Cuma politik hidup pada hari ini, kita tidak diperintah Islam secara mutlak. Jadi orang Islam tidak percaya pada undang-undang Islam,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak sikap tersebut timbul kerana umat Islam masih belum terdidik sepenuhnya dengan kelebihan dan hikmah undang-undang Islam dan berharap ia ditonjolkan supaya diterima oleh orang Islam khususnya.

“Macam kita makan makanan (tempatan) kita ini, walaupun makanan orang Islam tetapi kita lebihkan makanan orang putih (barat), lagi sedap. Pasal kita tidak ‘dihidang’ dengan kebaikan undang-undang Islam itu sendiri,” katanya.