Politik Juga Dibawa Ke Akhirat

623

Allah berfirman:
وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠ ٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا ٦٨ الأحزاب.
67. “Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar”.”
68. “Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”.(Al-Ahzab: 67-68)

Al-Quran melaporkan betapa pemimpin dan pengikut yang sesat di dunia menerima akibat di Hari Kiamat.

Allah berfirman menyatakan secara terperinci:
فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ ٧ وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ ٨ الزلزلة.
7. “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah (paling halus), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”
8. “Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan melihatnya juga.”(Al-Zalzalah: 7-8)

Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada setiap orang beriman kepada Allah dan firman-Nya, menegaskan bahawa semua urusan kehidupan manusia yang berakal dan mukallaf; bukan sahaja ibadat dalam hubungan dengan Allah, begitu juga hubungan dengan manusia dan alam sekeliling, dalam semua perkara sekecil-kecilnya sehinggalah sebesar-sebesarnya ada perhitungan dosa dan pahala.

Sabda Rasulullah S.A.W:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إلاَّ ظِلُّهُ : إمَامٌ عَادِلٌ ، وَشَابٌّ نَشَأ في عِبَادَةِ الله – عز وجل – ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ ، وَرَجُلاَنِ تَحَابّا في اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيهِ وتَفَرَّقَا عَلَيهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأةٌ ذَاتُ حُسْنٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إنِّي أخَافُ الله ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ ، فَأخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ الله خَالِياً فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ .
مُتَّفَقٌ عَلَيهِ . رياض الصالحين للنووي 1/ 242.

“Tujuh jenis manusia yang dinaungi Allah di bawah lindungan-Nya pada hari (kiamat) yang tiada perlindungan lagi melainkan perlindungan Allah sahaja. Pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, orang yang hatinya sentiasa bergantung ke masjid, dua orang yang berkasih sayang (persaudaraan) kerana Allah; bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, seorang yang diajak oleh perempuan bangsawan dan rupawan supaya mengerjakan maksiat lalu dia menolaknya dengan menegaskan saya takutkan Allah, seorang yang dermawan secara senyap sehingga kemurahannya laksana apa yang disumbangkan oleh tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kirinya dan seorang yang berzikir (ingat kepada Allah) dengan khusyu’ bersendirian di tempat yang sunyi sehingga berlinang matanya (kerana kehebatan Allah).”

Disebut yang pertama ialah pemimpin adil mengikut perkiraan Allah. Menunjukkan betapa kedudukan pemimpin negara dari segi fadilatnya pada Hari Kiamat. Khususnya urusan politik memimpin negara dan segala isinya yang menjadi amanah paling besar dari segi pelaksanaan dan perjuangannya. Amanah itu bukan pada nama dan perkataannya sahaja. Secara khusus ialah melaksanakan konsep adil terhadap semua.

Perhitungan adil itu mengikut hukum Allah yang terkandung di dalam Al-Quran dan ajaran RasulNya S.A.W dihuraikan oleh firman Allah:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩ النساء.
58. “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
59. “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang mengendalikan urusan) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (ajaran-Nya) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”(An-Nisa’:58-59)

Kesimpulannya:

1- Ayat ini menunjukkan betapa amanah politik adil terhadap seluruh manusia adalah tanggungjawab terbesar daripada perintah Allah.
2- Perintah Allah itu terkandung daripada Kitab Allah (Al-Quran) dan ajaran Rasulullah S.A.W.
3- Adapun mereka yang mengendalikannya ialah para ulama yang mewarisi ajaran tersebut secara amanah ilmu dan para pemimpin (umara) yang berkuasa menunaikan amanah melaksanakan hukum Allah dengan adil.
4- Seterusnya dikaitkan dengan beriman kepada Hari Akhirat. Bahawa semua amalan akan dikira baik dan jahat, serta balasannya.

Perlembagaan PAS menegaskan hukum tertinggi berkonsepkan seperti tersebut. Bagi memeliharanya, maka ditubuhkan Majlis Syura Ulamak yang bersifat pemutus muktamad dalam perkara nas dan ijtihad. Ada pun pelaksanaannya dan jenteranya di bawah Dewan Harian PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan segala cabangnya mengikut tugas dan peranan masing-masing.

PAS terus beristiqamah sehingga sampai kewawasannya daripada dunia sehingga hari akhirat. Bukan sekadar Wawasan 2020 dan kemenangan pilihan raya besar atau kecil sahaja.

Maka konsep kemenangan bagi PAS ialah:
Kemenangan terbesarnya ialah kemenangan akhirat yang kekal abadi disamping percaya adanya kemenangan di dunia. Apabila terdapat pihak yang menerima untuk melaksanakan cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS, maka ia berlakunya dengan tiga keadaan:

Pertama: Adanya pihak lain yang bersedia menyambut tawaran Islam yang wajib didukung bersama dan dipertahankan seperti Rasulullah S.A.W mengekalkan Raja Habasyah, Bahrain , Musqat dan Oman yang menerima Islam. Maka PAS wajib mendukung, menerima dan bersama mereka yang menerima Islam yang sempurna .

Kedua: Kumpulan Islam menolong kerajaan yang adil atau menjadi penasihat kepada kerajaan yang zalim dengan penuh kesabaran, berpandukan firman Allah:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة.
2. “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”(Al-Maidah:2)

Ketiga: Seterusnya Kumpulan Islam mengambil alih kerajaan yang menolak Islam dan menentangnya, seperti Empayar Rom Timur (Byzantin) dan Parsi yang ditentang dan dijatuhkan.

Konsep kemenangan ini berpandukan janji Allah di dalam Al-Quran:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَٰرَةٖ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٖ ١٠ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١١ يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ وَمَسَٰكِنَ طَيِّبَةٗ فِي جَنَّٰتِ عَدۡنٖۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٢ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣ وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَهَاۖ نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣ الصف .
10. “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”
11. “Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah (Islam) dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
12. “(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn’. Itulah kemenangan yang besar.”
13. “Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”(As-Soff:10-13)

Inilah ‘Road Map’ yang menjadi panduan kepada PAS dan seluruh mereka yang berada di dalam wadahnya. Hanya mereka yang beriman dan budiman terhadap ‘Road Map’ ini meneruskan perjuangan sehingga akhir hayat. Adapun mereka yang mempunyai pandangan lain pasti akan meninggalkan PAS secara rela hatinya sendiri atau dipaksa campak keluar daripada PAS.

Adapun pelaksanaannya, kita diajar supaya bertafaqquh (memahami) dasar, konsep dan cara beramal mengikut dua landasan.
1- Thawabit: Ketetapan Allah dan Rasul dalam perkara dasar, matlamat dan konsep naluri yang tidak boleh dipinda dan diubah dalam semua realiti dan situasi.
2- Mutaghayyirat: Perkara yang mengalami perubahan dari segi realiti, situasi dan strategi mengikut ruang dan sempadan konsep umum yang banyak dan luas.

PAS tetap memilih konsep demokrasi aman dan damai, serta Politik Matang dan Sejahtera dengan hikmah.

Tegasnya, Islam wajib memimpin dan adil terhadap masyarakat majmuk dengan mengajak umat Islam berjuang bersama termasuk kalangan bukan Islam. Juga dengan syarat menolak konsep yang menafikan kepimpinan Islam atau Liberal Oportunis yang mencari kemenangan mee segera atau cauvinis yang boleh mengacau kehidupan sendiri, walaupun perjuangannya untuk kepentingan kaum sendiri tanpa berpijak di bumi Malaysia ini yang bermasyarakat majmuk.

Allah telah menetapkan jaminan terhadap bukan Islam sehingga dikaitkan dengan konsep takwa:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة .
8. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan).”(Al-Maidah:8)

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
16 Jamadil Akhir 1438H / 15 Mac 2017M