Percepat Penubuhan Suruhanjaya Perumahan, Struktur Semula Industri Perumahan

120

KUALA TERENGGANU – PAS menggesa kerajaan agar mempercepatkan penubuhan sebuah badan atau suruhanjaya bertujuan menyelaraskan semua institusi berkaitan perumahan di bawah satu bumbung.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Malaysia, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini memandangkan harga purata rumah pada tahun lalu sudah pun mencecah RM387,258.00 seunit dan adalah dalam kategori ‘amat tidak mampu milik’.

“Harga kediaman pada paras ini sudah pasti tidak mampu dimiliki oleh kumpulan isi rumah B40 dan M40 kerana pendapatan purata kelompok ini hanya RM2,848.00 dan RM6,502.00 masing-masing.

“Statistik juga menunjukkan dari 2012 hingga 2014, kadar kenaikan harga rumah (17.6%) lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan isi rumah (12.4%).

“Dan ia sangat berbeza dengan senario pada tahun 2007 hingga 2009 yang menunjukkan kadar kenaikan pendapatan isi rumah lebih tinggi daripada kadar kenaikan harga rumah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam status terbaru laman sosialnya, Isnin, 13 November.

Menurutnya, melalui penubuhan suruhanjaya tersebut, struktur industri perumahan di negara ini dapat disusun semula menjadi lebih kemas sekaligus menutup ruang dan peluang mengaut keuntungan atas angin oleh pihak-pihak yang tertentu.

“Kerajaan mesti bertindak segera bagi menyelesaikan masalah dalam industri perumahan di negara ini sebelum ia menjadi bertambah rumit.

“PAS menyokong penuh cadangan penubuhan sebuah badan atau suruhanjaya perumahan bertujuan menyelaraskan semua institusi berkaitan perumahan di bawah satu bumbung seperti yang dilontarkan oleh Ketua Kluster Kejuruteraan dan Alam Bina Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Alias Abdullah beberapa hari lalu,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menambah, perkara ini juga telah beliau suarakan pada November 2015 lagi dalam komentarnya terhadap Bajet 2016 khusus berkenaan isu perumahan.

Justeru, PAS menegaskan bahawa usaha untuk menyemak dan mengstrukturkan semula industri perumahan dalam negara ini yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkenaan, pemaju dan persatuan berkaitan serta aturcara dan caj guaman mesti dilakukan,

Terutamanya bagi mengawal kenaikan harga rumah dalam pasaran dan memastikan bekalan mencukupi permintaan justeru menyelesaikan isu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat lebih-lebih lagi oleh golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).