Penyakit ‘Bawaan Umno’ Sudah Tak Boleh Diubati

625

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Umno/BN pandai mencipta pelbagai penyakit untuk rakyat. Bila rakyat mengeluh dan mengadu kesakitan, lantas mereka sediakan ubat penahan sakit (pain killer) untuk meredakan kesakitan seketika. Rakyat yang sedang kesakitan berterima kasih atas ubat yang diberi.

Bagusnya kerajaan yang prihatin dengan aduan rakyat. Selepas itu Umno datangkan pula penyakit baru. Sekali lagi rakyat mengeluh dan sekali lagi pain killer dihulur lalu sekali lagi kerajaan menerima ucapan terima kasih. Bukan setakat tangan pemimpin yang memberi ubat dicium, malah dicium sampai ke siku.

Penyakit bawaan Umno/BN terlalu banyak malah sebahagiannya sudah membarah sehingga tak mampu lagi diubati.

Rasuah, penyelewengan, kelemahan tadbir urus, kronisme dan nepotisme, pemborosan, hutang luar negara yang terus meningkat, kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, pelbagai beban cukai mengelilingi rakyat, pemimpin hidup dengan kemewahan melampau dan pelbagai lagi wabak penyakit-penyakit yang pelik.

Mangsa utama kepada wabak yang merebak ini adalah rakyat bawahan. Merekalah yang paling terkesan dengan pelbagai ‘sign and symptom’ penyakit. Tubuh rakyat yang lemah diserang wabak penyakit hampir tak berdaya lagi untuk melangkah. Tapi mereka terus berusaha untuk melangkah walau dalam kepayahan.

Orang sakit majoritinya akan merintih dan mengeluh. Kalau tak mampu sembuh, sekurang-kurangnya ada ubat yang mampu meredakan sedikit kesakitan.

Situasi rakyat yang menagih ubat penahan sakit inilah yang amat digemari oleh Umno/BN. Lantas mereka datang dengan pelbagai bentuk dan aneka warna pain killer.

Ada pain killer yang namanya BR1M, bantuan hari raya, bantuan awal persekolahan, bantuan sara hidup nelayan, bantuan sara hidup penoreh getah, bonus setengah bulan gaji menjelang hari raya, dana bakti remaja, sedepa dua projek menurap jalan kampung, turunkan harga minyak 7 sen walaupun ketika naiknya 20 sen dan pelbagai lagi jenis pain killer.

Maka selepas diambil pain killer, kesakitan yang ditanggung akan rasa lega untuk satu dua jam. Hilang kesan ubat, rasa sakit akan kembali menyerang. Lalu ubat tahan sakit ditagih lagi dan pemberi ubat datang lagi. Begitulah seterusnya. Jangan bagi orang sakit ini sembuh. Bila sembuh maka situasi ini bahaya bagi Umno/BN kerana rakyat tidak lagi bergantung kepada pain killer.

Tapi kita perlu tahu, pengambilan ubat penahan sakit untuk secara berterusan untuk jangka waktu yang lama akan mendatangkan kesan sampingan kepada tubuh badan lalu menjejaskan kesihatan untuk tempoh jangka panjang. Paling bahaya bila jadi ketagih ubat penahan sakit.

PAS datang dengan membawa ubat alternatif untuk menyembuhkan dan mengajak rakyat untuk membina kesejahteraan hidup dengan ‘ubat Islam’. Memang diakui, bila seseorang dah terlalu biasa dengan pain killer, agak sukar juga pesakit nak percaya bahawa penyakit mereka itu ada penyembuhnya. Sangkaan mereka derita ini akan ditanggung sampai mati berbekalkan ubat penahan sakit sahaja.

Kita perlu yakinkan mereka akan keberkesanan ‘ubat Islam’ ini dalam merawat wabak bahaya bawaan Umno. Kalu lok jadi koho paroh!