Penantian 26 Tahun JDT Berakhir

213

Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengakhiri penantian selama 26 tahun untuk dinobatkan sebagai juara Malaysia selepas kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan Kedah pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam di sini, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan JDT berjaya melengkapkan koleksi trofi mereka dalam tempoh empat tahun, selepas menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih, sejak Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui kelab itu pada tahun 2013.

Di hadapan lebih 80,000 penyokong, pasukan dibawah kelolaan jurulatih Ulisses Morais yang turun padang tanpa penyerang Mohamad Ghaddar.

Bagaimanapun JDT hanya mengambil mereka tiga minit untuk mendahului Kedah menerusi tandukan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak, hasil tendangan sudut oleh ketua pasukan Mohammad Safiq Rahim.

Disengat dengan gol pertama itu, Kedah melancarkan serangan demi serangan tetapi penjaring terbanyak kejohanan, Sandro Da Silva gagal menghasilkan sebarang gol.

JDT hampir menambahkan jaringan pada minit ke-15 selepas Kedah gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti, bagaimanapun, sepakan Ignacio Insa hanya melepasi gawang Kedah.

Dengan kemenangan itu, kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan cuti khas peristiwa pada hari Ahad, meraikan kejayaan yang lama ditunggu-tunggu untuk menjulang piala berprestij itu, selepas kali terakhir berbuat demikian pada 1991.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata, ia satu kejayaan bersejarah selepas 25 tahun dan pengumuman cuti khas peristiwa, adalah penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat Johor.

Menurutnya, pengumuman cuti itu adalah sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang terdahulu memperkenankan cuti peristiwa sekiranya JDT muncul juara.

Katanya, ia juga selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369).

“Tahniah kepada pasukan JDT di atas kemenangan itu dan berharap ia menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan JDT merangkul Piala Malaysia 2017.