Pemuda PAS Gesa Polis Ambil Tindakan Terhadap Siti Kassim Dan David Orok

515

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu membuat satu laporan menggesa pihak polis bertindak terhadap Siti Kasim dan juga David Orok atas kenyataan yang menghina Islam.

Timbalan Ketuanya, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, mereka berdua dengan jelas telah membawa satu unsur penghinaan melibatkan Nabi Ibrahim AS dan juga Nabi Ismail AS serta ibadah korban.

“atas kenyataan yang di keluarkan (oleh mereka) dalam facebook beberapa hari yang lepas…..yng kita melihat dan membuat tanggapan secara jelas, kedua-duanya sudah membawa satu unsur penghinaan terhadap agama Islam,

“Ekoran daripada ‘posting’ yang telah dibuat oleh kedua individu tersebut, kami anak-anak muda PAS merasakan tidak sewajarnya kita mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia berkata demikian kepada pihak media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini hari ini, Selasa 12 September.

Oleh kerana itu, beliau berkata, pihaknya juga mengarahkan semua Pemuda PAS Negeri membuat laporan yang sama, secara rasmi pada kelmarin dan hari ini.

Menurutnya, kecuali negeri Kedah yang menunda laporan kerana penghormatan terhadap kemangkatan Sultan, semua negeri lain telah mengambil tindakan membuat laporan.

Justeru, beliau berharap pihak penguatkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua individu terbabit.

“Tujuan laporan polis dibuat pada hari ini kita harap pihak berkuasa mengambil satu sikap yang serius bukan hanya menerima laporan tapi membuat satu tindakan yang tegas menyiasat dan memanggil individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan,

“Dan kita telah memberikan pautan Facebook yang saya semak pada pagi tadi masih belum di padam dan kita yakin pihak Cyber Polis Di Raja Malaysia (PDRM) memiliki keupayaan untuk mengesan dan memastikan kesahihan maklumat yang telah di bawa oleh kedua individu tersebut,” jelas beliau.

ADUN Tepoh itu juga menyeru semua pihak, berharap bukan sahaja pihak polis memainkan peranan malah Jabatan Agama Islam negeri dan Jakim memainkan peranan bagi memastikan penghinaan terhadap Islam ini di hentikan.

Hadir sama ia Ketua Pemuda PAS  Terengganu Ustaz Karuzaman Abdullah dan Ketua-ketua Pemuda Kawasan Kuala Terengganu serta Kemaman, Azriin Aris dan Ustaz Ramlan Mahmood