Pelarian Rohingya Tak Cukup Khemah

340

Oleh KAM

COX’S BAZAAR, Bangladesh – Ramai pelarian Rohingya yang baru tiba masih tidak mempunya khemah sementara untuk mereka berlindung.

“Kita rasa sangat terharu dengan situasi yang berlaku terutama apabila kita bertemu dengan anak-anak kecil yang sangat lapar.

“Masing-masing berebut (makanan) dan menadah tangan di sepanjang jalan yang kita jumpa mereka (pelarian). Sebahagian mereka itu baharu tiba dan tidak tahu ke mana nak pergi (penginapan),” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan awal di sepanjang jalan Teknaf melalui tiga buah penempatan pelarian di Kem Balukhali, Camp Putupalong dan kem Thaingkhali, pada Selasa 10 Oktober.

Katanya, banyak Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk UNHCR datang membantu tetapi masih belum mencukupi keperluan semasa.

Malah, katanya berita kesedihan mengenai pelarian etnik Rohingya yang menjadi pelarian itu ada yang tidak mempunyai tempat berteduh.

“Cuma saya lihat, selain dari keperluan makanan yang kita bahagi agaknya ada keperluan kewangan yang mereka perlukan. Sebab, saya tengok dari segi keperluan ada dijual di kedai-kedai. Maknanya, jika mereka (pelarian) ada duit mereka boleh belilah.

“Selain dari kita beri keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak, gandum dan sebagainya mungkin ada keperluan mendesak seperti susu yang mereka terpaksa beli sendiri,” jelasnya

Menurutnya, maklumat yang diperolehi melalui PASRelief bahawa jumlah pelarian etnik Rohingya itu seramai 1.3 juta orang.

Katanya, setiap hari berlaku kemasukan dan kehadiran pelarian baharu yang hidup tanpa tempat tinggal untuk berteduh.

“Hari ini kami (PAS) lihat sendiri kaum-kaum ibu yang berdiri di tepi jalan, menadah tangan minta simpati orang yang lalu-lalang.

“Nampaknya, mereka sangat terdesak untuk dapat menginapan. Kem-kem pelarian yang disediakan (kerajaan) Bangladesh tidak mencukupi untuk menampung.

“Setiap hari ada pelarian yang baharu tiba dari menyeberang. PASRelife yang kita usahakan ini dapat menyediakan beberapa penempatan dan keperluan kepada air bersih (tubewell) untuk minum dan membersih diri,” jelasnya.