PASRelief Terengganu Agih 85 Tan Makanan

236

KUALA LUMPUR – Pasukan PASRelief Terengganu telah berjaya mengagihkan 85 tan makanan kepada pelarian rohingya di dua kem Balukhali dan Thenkhali.

Ketuanya Haji Yahaya Ali, bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan menyumbang.

“Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah yang mengizinkan dan memberkati perjalanan ini,

“Dan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan kita telah sampaikan sendiri kepada para pelarian,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang selepas tiba dari Dhaka pada jam 1.00 pagi, 18 November.

Menurutnya, bantuan disampaikan sendiri kepada mereka di kem-kem seperti kem Balukhali, Kem Thengkhali, Kem Palungkhali, Kem Kuthupalong dan Kem Chakmakul.

Sehubungan itu, Pengarah Tabung Kemanusiaan Rohingya Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebahagian projek seperti agihan makanan, selimut dan pakaian sekolah untuk anak-anak Rohingya telah dilaksanakan dan sebahagian lain telah diserahkan duit kepada NGO tempatan iaitu Coperation Of Humanity Activities (CHA).

Katanya, Wakil CHA Selimullah Musted Ahmad bertanggongjawab meealisasikan semua projek tajaan PASRelief dan akan memantau serta memberikan laporan untuk semua perkembangan semua projek itu, sehingga siap, insyaAllah.

“Projek Projek yang dilaksanakan oleh Pasrelief Terengganu adalah seperti berikut Bantuan Makanan (Food Package) 5,000, Khemah Perlindungan (Shelter Home) 51 buah, TelagaTiub (Tubewell) 44 unit,

“Tandas dan Bilik Mandi Wanita (Toilet For Women) 20 unit, Selimut (Blanket) 500 keluarga, Pakaian (Clothes For Students) 333 unit, Sekolah (School) 10 unit termasuk peralatan buku teks, Masjid -3 buah dan Gaji Guru untuk 10 orang guru selama 7 bulan,” jelasnya.

Beliau berkata, semua projek yang bernilai RM500,000 itu telah disumbangkan oleh Rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor berkata, barangan makanan asas yang terdiri daripada beras 10 kilogram (kg), bawang dua kg, kacang dal dua kg, tepung dua kg, ubi kentang dua kg dan sebotol minyak masak.

“Terdapat sekumpulan besar pelarian Rohingya yang baru tiba dua hari lepas dalam keadaan keletihan dan kelaparan serta sangat- sangat menunggu bantuan makanan,

“Ada yang menangis mengadu nasib walaupun tahu bahasa yang dituturkan tidak difahami dan mereka cuba menyampaikan penderitaan yang dialami melalui luahan emosi,” katanya.

Menurutnya, suasana agak tegang ketika menanti agihan makanan ini apabila para ibu dan anak-kanak kecil sentiasa mengekori kami untuk mendapatkan makanan.

“Dan mereka juga menunggu untuk mendapatkan khemah bagi mendapatkan tempat perlindungan,

“Dengan bantuan tentera dan sukarelawan tempatan barulah agihan ini dapat dijalankan,” jelasnya

Tambahnya, beliau sempat bertemu dengan pelarian yang baharu tiba itu, seorang ibu muda baru tujuh hari melahirkan anak perempuan di tepi pantai, di sempadan Arakan dan Bangladesh, ketika sedang melarikan diri.

“Kemudian walapun dia baru bersalin tapi terpaksa meneruskan perjalanan ke Bangladesh dengan hanya berjalan kaki,” ujarnya.