PAS Tidak Bergabung Dengan Umno

1079

Oleh : KAM

KUALA NERUS – Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS menegaskan tidak bergabung dengan Umno dari sudut entiti parti kecuali kerjasama demi kebaikan Islam dan rakyat.

Ahli Jawatankuasanya, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) membolehkan PAS bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan dalam perkara kebajikan.

Malah, katanya di Terengganu semua program yang melibatkan kerajaan negeri boleh disertai PAS demi kebaikan rakyat.

“Sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak tidak ada sebarang gabungan dengan Umno dari sudut entiti parti. Tetapi, kita (PAS) boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara melibatkan Islam dan rakyat.

“Dan menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) membolehkan kita bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah dengan kerajaan terutamanya dalam perkara kebajikan.

“Begitulah kita (PAS) di Terengganu dalam apa sahaja program melibatkan kerajaan kita boleh ‘join’ (sertai) untuk kebaikan rakyat kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program “Shopping Baju Raya 100 Anak Yatim Bersama Ahli Parlimen Kuala Nerus, di sebuah pasaraya Gong Badak, di sini, 17 Jun lalu.

Justeru, Dr Mohd Khairuddin turut mengalu-alukan usaha kerajaan negeri yang sentiasa memberi ruang kerjasama kepada PAS dalam perkara kebajikan masyarakat dan Islam.

Menurutnya, tidak mesti kerjasama itu dalam bentuk gabungan entiti parti PAS-Umno kerana yang penting penyatuan di kalangan orang Islam.

“Kita (PAS) boleh hadir seperti program jemputan polis (PDRM) dan Menteri Besar (MB) sendiri. Saya sendiri hadir ketika perasmian Jambatan Pulau Sekati dan beberapa program kerajaan lagi, kita (PAS) akan bersama.

“Kita mengalu-alukan usaha kerajaan Terengganu sendiri untuk sentiasa memberikan ruang kerjasama dengan PAS dalam perkara kebajikan masyarakat dan kebaikan Islam.

“Tapi, cerita penggabungan parti (PAS-Umno) itu tidak berlakulah. Dan tidak semestikan kerjasama itu dalam bentuk gabungan parti tapi yang penting kerjasama di kalangan orang Islam, yang boleh menyatukan orang Islam di peringkat bawahan agar semua orang mendapat hak masing-masing,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN)agar kembali kepada budaya politik baharu yang memberi hak kepada semua rakyat.

Katanya, budaya politik lama amat menekan rakyat dan tidak memberikan kepada yang berhak.