PAS Dapat Kebenaran Parlimen Bawa RUU 355

11141

Oleh : KAM dan Suhaimi Taib

MARANG – PAS telah mendapat kebenaran pihak kerajaan bagi membawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ke persidangan Parlimen kali ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan bahawa PAS mendapat persetujuan untuk membawa RUU Akta 355 itu ke Parlimen kali ini.

Namun, katanya masa itu akan ditentukan oleh pihak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengikut ‘standing order’ Parlimen.

“Kita (PAS) mendapat persetujuan untuk bawa pada sidang Parlimen kali ini dan akan dibahas, Insya’Allah.

“Itu Speaker (Dewan Rakyat) yang tentukan masa mengikut ‘standing order’ Parlimen selepas urusan kerajaan. Walau bagaimana pun, kerajaan boleh beri masa bila-bila masa sahaja,” ujarnya kepada wakil media ketika ditemui selepas Kuliah Mingguan Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Ketika ditanya, apakah kesan kepada PAS setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) enggan membawa RUU355 itu ke Parlimen, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan tiada kesan kepada partinya.

Malah, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sebenarnya pihak kerajaan sendiri bersetuju agar PAS yang membawa ‘private bill’ itu ke Parlimen.

“Tak ada kesan, sebenarnya pihak kerajaan setuju kita (PAS) bawa ‘private bill’ itu. Ini (RUU355) kaitan tentang hak orang Islam, kewajiban bersama bagi orang Islam dan tak ada sebab bagi orang bukan Islam untuk campur tangan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru khususnya kepada semua ahli parlimen Islam agar menyokong pindaan RUU Akta 355 tersebut.

Manakala, katanya kepada ahli parlimen bukan Islam pula dinasihatkan agar menghormati Perlembagaan.

“Saya seru ahli parlimen Islam khususnya menyokong. Ada pun yang bukan Islam supaya mereka menghormati Perlembagaan. Perlembagaan mengatakan ini hak berkait dengan orang Islam sahaja,” tegasnya.

Dato’ Seri Abdul Hadi turut menafikan PAS ditipu sekali lagi oleh Umno-BN dalam isu RUU Akta 355 dan bersedia menghadapi sebarang halangan kerana itu urusan agama.

“Ini (RUU355) kewajiban bersama orang Islam, macam masjid kerajaan benar untuk kita sembahyang Jumaat di masjid. Itu bukan kerja tipu, kerja agama. Ini urusan agama, bukan kerja menipu.

“Kita (PAS) akan hadapi halangan-halangan itu dan kita kenal siapa yang menghalangnya, Insya’Allah,” ujarnya.

Isu tersebut kembali hangat, apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak mengumumkan kerajaan BN tidak akan membentang RUU Akta 355 di Parlimen.