PAS Batu Buruk Ikrar Kekalkan Kemenangan

894

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA TERENGGANU – Majlis Tindakan DUN (MTD) Batu Buruk berikrar akan mengekalkan kemenangan dan membantu Badan Perhubungan PAS Terengganu kembali mentadbir negeri Terengganu pada pilihan raya umum kali ke-14 akan datang.

Pengarahnya Ustaz Mohd Soud Said berkata, kalau dilihat politik di negeri Terengganu pada hari ini, banyak perkara-perkara yang membebankan rakyat, yang menggunakan duit rakyat sewenang-wenangnya sehinggakan merugikan rakyat di seluruh negeri.

“Kami di DUN Batu Buruk sentiasa melihat perkembangan perjalanan terkini politik terutamanya politik di negeri Terengganu,

“Jadi kami akan bersedia untuk bersama-sama dengan rakyat bagi memastikan semua untuk kepentingan rakyat akan tetap kami bela pada masa-masa yang akan datang, insya Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Jamuan Raya MTD Batu Buruk yang diadakan di Dataran Wisma KOKHIDMAT, Kuala Ibai, hari ini 15 Julai, disini.

“Terutamanya dalam memastikan kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang ini agar hak rakyat terbela pada masa yang akan datang,

“Kami sentiasa melakukan persiapan dan telah menyediakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang yang kemungkinan akan berlaku pada awal tahun hadapan ataupun kita tunggulah bila waktu pilihan raya,” jelas beliau.

Menurutnya, dengan kehadiran yang cukup memberangsangkan dan ramai pada hari ini, melibatkan muslimin muslimat seluruh dun Batu Buruk menandakan bahawa PAS masih lagi mempunyai kekuatan dan mendapat sokongan yang padu di dalam dun Batu Buruk.

Ustaz Soud yang juga Setiusaha PAS Kawasan Kuala Terengganu berkata, semua persiapan terutamanya penyedian peralatan pilihan raya, bilik gerakan dan jentera telah digerakkan sejak beberapa bulan yang lalu.

“Jentera kita semuanya telah siap sedia. Bilik gerakan kita semua telah dibuka dan kita telah mengarahkan setiap unit peti undi (UPU) kita dan juga setiap cawangan kita bersiap siaga dengan persiapan jentera dan sebagainya,

“Disamping itu juga kita sentiasa melakukan daftar pemilih bagi pengundi-pengundi yang baru yang layak untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih,” tambahnya.

“Maka kita telah menggerakkan supaya mereka semua berdaftar dengan pihak SPR ataupun di pejabat Pos . Inilah antara kerja-kerja yang telah kita lakukan dan insya Allah kita mengharapkan kerja-kerja persiapan ini akan terus bergerak dari hari ke hari,

“Dan pihak jawatankuasa PAS Dun Batu Buruk akan sentiasa terus beri khidmat kepada masyarakat dalam dun batu buruk terutamanya bagi memastikan kemenangan akan terus berada di pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS),

“Mudah-mudahan dengan persiapan yang kita sediakan hari ini akan dapat mengekalkan kemenangan PAS di dun Batu Buruk,” katanya lagi