Ops Medan : Strategi Dekati Pengundi Di Tempat Awam

537

Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN – PAS Kawasan Kemaman terus meningkatkan keupayaan jentera pilihanraya melalui program terbaru mereka dikenali sebagai Ops Medan.

Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid berkata demikian ketika hadir melancarkan program tersebut di Tapak Pasar Malam Kertih, di sini, petang semalam Selasa 18 April.

“Program ini lebih bertujuan menyantuni pemilih berdaftar di tempat awam berutamanya golongan muda dan melibatkan pimpinan utama PAS kawasan….. ia akan dilaksanakan di setiap pasar minggu utama di seluruh Kemaman” kata Ustaz Alias.

“Kita juga membuka kaunter semakan daftar pemilih, mengedarkan risalah 5 Tawaran Awal PAS Negeri Terengganu dan memberi penerangan ringkas isu-isu semasa” tambah beliau lagi.

Sambutan spontan agak meriah diberikan oleh orang ramai terutamanya golongan muda dan peniaga pasar malam dengan bersalaman dengan pimpinan PAS serta turut serta membuat semakan daftar pemilih.

Ustaz Alias juga sempat merakam penghargaan terima kasih kepada semua petugas jentera pilihanraya yang melapangkan masa hadir pada petang itu dalam menjayakan program tersebut.