Muslimat Muda Berperanan Tangkis Serangan Pemikiran

300

Oleh : Rohayati Ripin

MARANG – Muslimat Muda mesti berperanan memberi penerangan dan kesedaran kepada masyarakat yang terdedah dengan pelbagai serangan pemikiran serta gejala sosial

Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman berkata, peranan mereka penting sebagai agen perubah masyarakat dan membentuk generasi pemimpin Islam akan datang.

” ‘pemuda Harapan bangsa, pemudi tiang negara’ merupakan satu mesej yang memberi gambaran betapa pentingnya anak-anak muda mencorak dan menentukan masa depan Malaysia yang kita sayangi,

“Muslimat PAS Marang bertanggungjawab mempastikan Program Himpunan Muslimat Muda (HAMRA) Marang dapat berjalan dengan jayanya, insya Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program HAMRA yang akan diadakan di Madrasah Darul Iman, Sabtu, 16 September, disini.

Oleh itu, pihaknya telah mengarahkan setiap cawangan agar mengerahkan ahli Ameerah untuk turut serta menjayakan program itu nanti.

“Kami juga mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa, pemimpin PAS Kawasan atau Cawangan serta pemimpin Pemuda untuk membawa anak dan isteri masing-masing bagi menjayakan program HAMRA,

“kerjasama dengan pihak Maahad Darul Quran (MDQ), Madrasah Darul Iman (MDI) dan Majlis Guru Pasti (MGP) Marang juga dibuat bagi mempastikan semua guru dan pelajar masing – masing dapat turut hadir,” kata beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Marang.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Pengarah Ameerah Terengganu, Asma’ Abdullah berkata, HAMRA Marang merupakan momentum bagi menuju Fastaqim 2.0.

“Himpunan ini bertujuan untuk mengumpul tenaga muslimat muda bagi pengukuhan fikrah dan ‘amal jamaei’, mempersiapkan diri menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan mensasarkan 500 orang anggota yang berumur 15 hingga 40 tahun,

“Pelbagai aktiviti menarik disajikan antaranya ‘talkshow’ bertajuk ‘Road To Cinta Halal’ disamping program mewarna kanak-kanak, teka berat buku, cabutan bertuah dan pertandingan kuih tradisional,

“Hadiah utama ditaja oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berupa dua buah basikal untuk dewasa dan kanak-kanak.” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua muslimat dan wanita muda khususnya di Marang, supaya beramai-ramai menghadirkan diri ke himpunan HAMRA ini.

“Semoga himpunan ini berjaya melahirkan muslimat muda yang ikhlas dalam memperjuangan Islam dan bersama berpartisipasi dalam masyarakat seterusnya istiqamah dalam perjuangan hingga ke akhir hayat,” tambah beliau.